Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Seorang wanita warga asing yang terlibat dalam menjalankan perkhidmatan kecantikan tanpa kebenaran dalam sebuah apartment telah berjaya ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, menyatakan bahawa operasi bersepadu berkenaan telah dijalankan pada 19 Julai lalu dengan bantuan dan Kerjasama dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Negara serta Jabatan Bandaran berikutan maklumat yang diterima dari orang awam, mengenai perkhidmatan kecantikan yang diiklankan melalui platform media sosial Instagram.
Pihak penguatkuasaan telah mendapati produk-produk kosmetik yang tidak dinotifikasikan untuk kegunaan rawatan kecantikan dan juga ubat-ubatan yang dibawa masuk tanpa preskripsi daripada pengamal atau doktor perubatan.
Ia menjadi kesalahan di bawah Akta Ubat Penggal 285 bagi mana-mana individu yang tidak mempunyai kebenaran dan lesen yang sah daripada Kementerian Kesihatan untuk mengimport, menggunakan dan menjual ubat-ubatan terkawal, produk kesihatan dan barangan kosmetik di negara ini, untuk digunakan bagi tujuan rawatan pelanggan.
Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan daripada terpedaya dengan sebarang promosi perkhidmatan kecantikan di laman media sosial terutamanya oleh individu-individu yang tidak berdaftar dengan pihak autoriti perlesenan atau seorang pengamal yang berkelayakan.
Orang awam perlu memahami akan risiko yang berkaitan dengan prosedur rawatan kecantikan dan dinasihatkan untuk merujuk dengan pengamal perubatan yang berdaftar sebelum menjalankan sebarang prosedur rawatan kecantikan.
Dalam usaha Kementerian Kesihatan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang ramai melalui aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berterusan, orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang perkhidmatan rawatan estetik dan kecantikan yang disyaki tidak sah kepada Kementerian Kesihatan dengan menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel, pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.


