Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Jepun bergelut mencari tempat dalam dunia sumo

    TOKYO – Sumo lebih daripada sekadar sukan di Jepun. Ia merupakan satu tradisi suci, sebuah pertunjukan berusia 1,500 tahun yang sarat dengan ritual dan upacara Shinto.

    Tetapi di sebalik itu, terdapat satu tabu yang telah lama wujud iaitu golongan wanita masih dilarang memasuki gelanggang tradisional yang dikenali sebagai dohyo dalam bahasa Jepun.

    Warisan itu kini menghadapi tentangan. Walaupun sumo profesional, sumo yang biasa dilihat di seluruh dunia, masih tidak dibenarkan kepada wanita, namun terdapat sekumpulan kecil yang terdiri daripada lebih 600 ahli gusti wanita sedang membuat kemajuan di peringkat amatur di Jepun.

    Cita-cita mereka melangkaui Kejohanan Dunia Sumo, sebuah pertandingan amatur lelaki dan wanita antarabangsa yang dijadual berlangsung hujung minggu ini di Bangkok, Thailand.

    “Saya mahu sumo menjadi sukan Olimpik tanpa perbezaan jantina,” kata Airi Hisano, 27 tahun, yang mengejar sumo di samping pekerjaan hariannya di Tachihi Holdings dan mempunyai reputasi sebagai ahli gusti wanita terkuat di Jepun. Beratnya 115 kilogram dan tingginya 1.72 meter.

    Ahli gusti sumo berlatih semasa sesi latihan di kem sumo di Sekolah Tinggi Tottori Johoku di Tottori, Jepun. – AP
    Ahli gusti sumo berlatih semasa sesi latihan di kem sumo di Sekolah Tinggi Tottori Johoku, Jepun. – AP
    Seorang ahli gusti mengambil tali pinggang sebelum memulakan sesi latihan. – AP
    Ahli gusti sumo menyediakan makan malam selepas sesi latihan. – AP

    Dia merupakan satu-satunya ahli kelab sumo wanita di syarikat itu, tetapi jurulatih utama Daiki Toyonoshima berpuas hati dengan murid tunggalnya, terutamanya ketika dia berlatih dengan wanita lain.

    “Melihat mereka saling menolak dan jatuh dengan muka terlebih dahulu tanpa menggunakan tangan sangat mengagumkan,” kata Toyonoshima, bekas ahli gusti profesional. “Sumo wanita bertenaga dan menyamai intensiti perlawanan lelaki.”

    Penyampai veteran NHK dan pengurus kelab Fujio Kariya berkata, sumo wanita boleh memberi impak di sebuah negara di mana peranan jantina sangat ketat. “Ia boleh mencetuskan perubahan sebenar, bukan sahaja dalam sukan, tetapi dalam masyarakat Jepun secara keseluruhan,” kata Kariya.

    PERSEMBAHAN MENONJOL

    Di satu lokasi latihan lain, Kelab Sumo Universiti Keio, wanita dan lelaki serta pelajar lelaki daripada pasukan Sekolah Tinggi Keio berlatih secara berdampingan.

    Memimpin mereka ialah Rio Hasegawa, 22 tahun, juara dunia kategori sederhana 2024 dan wanita pertama menyertai Kelab Keio sejak penubuhannya pada 1919. Dengan tinggi 1.71 meter (5-7) dan berat 72 kilogram (sekitar 160 paun), dia lebih tinggi dan lebih berat daripada kebanyakan wanita Jepun. Bentuk tubuhnya mencerminkan kekuatan yang dituntut dalam sumo. Berbeza dengan lelaki yang bertanding tanpa baju menggunakan mawashi, kain pinggang tradisional, wanita memakainya di atas baju khas.

    “Ia tidak dapat dielakkan, wanita mempunyai bahagian tubuh yang mesti ditutup,” kata Hasegawa. “Saya tidak pernah mahu bertanding seperti lelaki.”

    Hasegawa menambah, pakaian mencerminkan kesopanan budaya sambil juga menandakan jangkaan imej badan.

    “Jika saya berhenti sumo,” kata Hasegawa, “Saya mungkin akan memikirkan untuk menurunkan berat badan.”

    Ahli gusti lelaki sering menurunkan berat badan selepas meninggalkan sukan, dengan kajian menunjukkan jisim badan yang besar mungkin membawa kepada masalah kesihatan.

    “Di Jepun, kurus sering dikaitkan dengan cantik,” kata Shiho Suzuki, 19 tahun, salah seorang daripada empat ahli gusti wanita Keio. “Tetapi untuk prestasi dan kesihatan, kurus bukan segalanya. Badan yang kuat dan sihat dengan sedikit berat badan juga menarik.”

    Suzuki, yang berukuran 1.6 meter (5-2) dan 78 kilogram (172 paun), berkata gadis dalam sumo sering menjadi sasaran ejekan, cukup untuk membuat sesetengahnya berhenti.

    Manakala pelajar lain seperti Nana Nishida, pelajar tahun dua Universiti Keio, menyebutnya sebagai buli secara terang-terangan. Ketika di sekolah menengah, dia kehilangan 20 kilogram (sekitar 45 paun) dalam tempoh tiga bulan untuk cuba menghentikannya.

    “Sumo adalah sukan di mana awda tidak boleh menang dengan teknik sahaja,” kata Nishida. “Penting untuk memanfaatkan jenis tubuh awda.”

    GENERASI SETERUSNYA

    Sejak 2016, gadis-gadis dari seluruh Jepun telah mengembara ke Sekolah Tinggi Tottori Johoku yang terletak kira-kira 600 kilometer (370 batu) barat Tokyo, atau kira-kira lapan jam perjalanan untuk menghadiri kem latihan musim bunga dan musim panas selama seminggu di kelab sumo gadis terbesar negara itu.

    Banyak aspek kem itu bertujuan untuk menguatkan badan, memperbaiki teknik dan menambah berat badan yang bermakna makan secara penuh.

    Makanan tipikal terdiri daripada daging babi dalam sos masam, sayur-sayuran, nasi putih dan keledek manis gula. Juga biasa adalah ritual timbang berat sebelum dan selepas makan.

    “Kami makan untuk membina otot dan mengekalkan berat badan,” kata Sora Kusuda, 15 tahun, dari Osaka, yang telah berlatih sumo selama tujuh tahun dan mempunyai berat 110 kilogram (sekitar 245 paun) dengan tinggi 1.65 meter (5-5).

    Data kerajaan menunjukkan lebih 20 peratus wanita Jepun dalam lingkungan umur 20an dan 30an mempunyai berat badan kurang. Ahli gusti sumo tidak cuba menurunkan berat badan.

    Sebenarnya, Kusuda mempunyai satu lagi matlamat yang jelas, berkaitan dengan berat badan, latihan dan teknik. “Saya mahu menjadi juara dunia,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda