LILLE, 22 MEI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan seorang wanita yang kedua-duanya dipercayai warga Turkiye, telah meninggal dunia di luar pantai utara Perancis ketika cuba menyeberangi Selat ke Britain, kata pihak berkuasa Perancis kelmarin.
Tragedi terbaharu itu, yang berlaku dari Selasa hingga kelmarin, menjadikan lima bilangan pemohon suaka yang telah meninggal dunia sejak 10 hari lalu ketika cuba sampai ke Britain, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Wanita dan kanak-kanak itu ditemui mati dalam bot yang membawa muatan berlebihan terdiri daripada kira-kira 80 pendatang yang meminta bantuan daripada kapal tentera laut Perancis, kata Wilayah Maritim Selat dan Laut Utara Perancis.
Bot-bot kecil yang digunakan oleh penyeludup untuk membawa bakal pelarian merentasi Selat selalunya terlalu sarat sehingga penumpang mati akibat lemas atau mati dihempap.
Bot itu berlepas dari bandar utara Gravelines, dan sebuah kapal tentera laut Perancis segera dikerahkan untuk memantaunya.
Pihak berkuasa Perancis tidak campur tangan apabila bot terapung kecuali untuk tujuan menyelamat, memetik kebimbangan keselamatan.
Bagaimanapun, tentera Perancis telah campur tangan apabila pihak berkuasa dimaklumkan bahawa dua penumpang di dalam bot itu seorang wanita dan seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri. – AFP
