Wanita Kelabit teruskan legasi keluarga usahakan padi bario

PUTRAJAYA – Terpanggil untuk meneruskan legasi keluarga mengusahakan tanaman padi bario, Dayang Nalin@Dayang Ulun sanggup meninggalkan pekerjaan di sektor swasta untuk menjadi petani sepenuh masa mengusahakan sawah seluas 1.21 hektar di Bario, Sarawak.

Wanita berketurunan Kelabit berusia 58 tahun itu kembali ke Bario pada 2008 untuk mengusahakan tanaman padi bario secara serius bersama keluarganya.

“Ibu bapa saya merupakan antara pengusaha padi bario sejak 1960an lagi dan sebagai anak sulung daripada lima adik-beradik, saya berasa terpanggil untuk meneruskan usaha mereka supaya tidak menjadi sia-sia,” katanya kepada Bernama.

Dayang Nalin adalah antara 2,361 penerima sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) pada majlis apresiasi pensijilan myGAP bagi pengusaha subsektor tanaman bagi 2021 di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di sini.

MyGAP adalah skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan antara lain memfokuskan kepada keselamatan makanan dan pengurusan alam sekitar terbaik.

Dayang Nalin@Dayang Ulun sanggup meninggalkan pekerjaan di sektor swasta untuk menjadi petani sepenuh masa. – Gambar Facebook Dayang Nalin

Dayang Nalin yang merupakan pengurus syarikat Dnalin Bario Highlands Ecofarm berkata antara keistimewaan padi bario ialah teksturnya yang halus selain kandungan karbohidrat yang rendah menyebabkan beras itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat termasuk di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata harga beras berkenaan boleh mencecah RM16 sekilogram di Bario dan namun harganya lebih tinggi di pasaran akibat pelbagai faktor termasuk jenis beras yang dihasilkan seperti beras Adan Bario yang halus yang sesuai dijadikan sebagai makanan harian. Menurut Dayang Nalin yang turut dibantu suaminya, ramai anak muda Bario mula ‘balik kampung’ dan menunjukkan minat untuk mengusahakan tanaman padi bario.

“Tahun ini juga, Jabatan Pertanian Sarawak mencari jalan supaya ramai orang akan mengusahakan kembali sawah-sawah terbiar. Ia mendorong orang di kampung untuk turut serta dalam bidang tanaman ini,” kata ibu dua anak itu yang sering kali merujuk kepada jabatan itu bagi bimbingan amalan pertanian baik.

Dayang Nalin berkata hasil tuaian boleh mencecah tiga tan pada satu-satu masa dan beliau mengupah pekerja kontrak bagi kerja penuaian padi dan proses pengeringan.

“Musim menuai adalah antara pertengahan Disember hingga Februari dan padi perlu dituai secara berterusan kerana musim hujan akan bermula pada Mac,” katanya yang masih menggunakan teknik pengeringan padi secara tradisional.

Selain tanaman padi bario, Dayang Nalin juga mengusahakan tanaman nanas Morris dengan hasil ladang sebanyak 200 hingga 300 kilogram sebulan. – Bernama