Oleh Masnonah A –
Sekitar tahun 1910an, bekas mulah nenek dan datuk keturunan moyang ke nenek moyang sebelah ibu saudaraku bercerita secara lisan kepada anak-cucu dan cicit-micit tentang sebatang sungai yang seakan-akan mirip ‘ampalam’ dalam bahasa Brunei atau dikenali dengan panggil mangga.
Kata keturunan mulah nenek ini, masa mudanya beliau merayau sekitar hutan tebal bersama Dang Anum dan Wang Mitar. Mereka ini jiran sebelah bapa mulah nenek seketurunannya sendiri. Mulah nenek ketika itu masih muda dalam lingkungan gadis yang masih dara remaja.
Pada suatu hari, Wang Mitar mengajak mulah nenek ke Sungai Ampalam untuk menjolok mangga, kebetulan buahnya ranum-ranum belaka. Di situ juga Wang Mitar ingin bermandi-manda tapi ditolak oleh mulah nenek dengan alasan dia tidak larat berjalan jauh berbatu-batu itu kerana takut dirotan oleh orang tua mulah nenek.
Maka pergilah Wang Mitar bersama rakannya, Wang Piut merentasi kampung demi kampung masuk ke hutan tebal. Keadaan ini didahului Dang Anum berserta lima orang sepupu perempuannya ke Sungai Ampalam itu. Mereka pun minum air sungai tersebut bagi menghilangkan dahaga. Sesudah itu mereka pun memetik buah mangga yang ranum dan selebihnya mereka makan bagi mengalas perut yang sudah lapar. Selepas menikmati buah tersebut, dalam perjalanan pulang mereka terserempak Wang Mitar dan Wang Piut.
Wang Piut amat tertarik akan Dang Anum kerana irasnya yang cantik. Dia juga ingin menggoda Dang Anum tapi dilarang oleh Wang Mitar agar tidak menggangu adik kesayangannya. Mereka pun pulang ke rumah dengan selamat.

“Kau ani Piut, kalau kan menggoda si Anum atu, jangan tak dizina-zinakan, inda baik karang menyesal diri,” kata Wang Mitar menasihat Wang Piut.
Wang Piut mendengar saja acuh tak acuh. Mereka pun sampailah ke Sungai Ampalam bermandi-manda. Dalam keseronokan mandi itu, desas-desus kedengaranlah ranting-ranting kering dipijak orang. Wang Piut terfikir mungkin Dang Anum kembali semula. Agak mustahil juga sedangkan Wang Mitar tidak terfikir begitu, mungkin adiknya telah pulang dengan selamat. Dari dalam Sungai Ampalam itu kedengaran lagi ranting-ranting dipijak dengan begitu keras, mereka terus menyorok dari belakang pokok mangga yang berbuah lebat. Ketakutan…ketika itu Wang Piut terjumpalah sebuah pondok tanpa penghuni, mereka pun masuk dan memeriksa sekelilingnya.
Pondok itu berbau asap kemenyan berdinding atap nipah yang tebal serta ringan.
Walaupun sudah nampak buruk kerana keadaan rumah itu terlalu lama .Cuma ada sebatang lilin bercahaya di tengah-tengahnya seolah-olah lilin tersebut baru saja dinyalakan. Selain itu, terdapat sepasang cermin yang tergantung tanpa tali. Tiba-tiba Wang Piut dan Wang Mitar terpijak sesuatu yang amat licin dan keras seperti batu-batu kerikil. Lalu dicapainya lilin tersebut untuk melihat apa yang dipijaknya tadi. Ia adalah bangkai manusia yang dikerumuni ulat sebesar ibu jari.
Bangkai itu berselerak di sana sini, darah bertitisan seperti banjir. Nauzubillah Minzalik.
Wang Mitar sungguh jijik melihat keadaan ngeri itu serta keluar dari pondok tersebut kerana merasa muak yang amat sangat. Wang Piut pula merasa cemas ketakutan lalu mengajak Wang Mitar pulang ke rumah. Wang Mitar pula berkeras mahu mencari gerangan siapakah penghuni pondok buruk itu. Mereka menyorok saja di belakang pokok mangga sehingga menanti malam menjelma.
Malam itu, bunyi cengkerik tidak henti menggangu pendengaran mereka. Larut di tengah malam itu, Wang Piut tertidur nyenyak keseorangan sementara Wang Mitar berjaga-jaga di sekeliling berbekalkan api pelita. Tangannya tak henti-henti mengupas kulit batang lembing. Ia mahu mengasah lembing itu hingga tajam bagi menyelamatkan diri daripada bahaya. Tanpa disangka suatu suara mendatanginya dari belakang.
“Kembalilah ke asalmu Mitar…tak ada penghuni ataupun hantu di Sungai Ampalam ini,” katanya lembut.
“Siapa kamu…Siapa!…jangan takutkan aku di sini!…Aku berhajat untuk membunuh gerangan siapa punya angkara di pondok buruk itu…!” bentak Wang Mitar kasar yang sudah sedia mengangkat lembingnya ke bahu.
Kemudian dia menoleh ke belakang mencari-cari suara yang lunak itu.
“Sabar Mitar…suara yang datang ini adalah melalui sungai itu, aku cuma hidup dalam lautan bersama anak dan suamiku, marilah Mitar jangan takut tengoklah,” katanya lagi.
Wang Mitar pun bangun membawa api pelita dari tangannya. Di celah batu besar kelihatan seorang perempuan misteri berambut panjang hingga ke paras pinggang dengan wajah yang cantik manis.
Alangkah terkejutnya Wang Mitar setelah menyaksikan kaki perempuan itu bukan kaki manusia tetapi kaki kuda kepang cuma badan dari muka ke paras pinggang saja menyerupai manusia.
Dadanya ditutupi rambut lebat yang panjang, bercolikan kerang emas. Perempuan misteri itu duduk di atas batu sambil merendamkan ekornya ke air sungai.
“Marilah dekat Mitar, aku tak berniat mengapakan kau, aku akan bercerita tentang sungai ini,” jelas perempuan misteri itu.
Wang Mitar pun berjalan perlahan di depannya dan duduk dekat sisinya. Belum saja ia bersuara, Wang Piut pula berlari mendapatkan Wang Mitar, Wang Mitar pun menerangkan tentang perempuan itu padanya. Masing-masinglah duduk di sisinya tanpa ada kejadian yang tidak diingini.
“Yang mati di pondok itu adalah mendiang emakku bekas dibunuh manusia jahanam seperti kamu, emak berkahwin dengan lelaki kuda kepang yang berkuasa ghaib menyerupai lelaki tulen.
“Ayahku telah dikuburkan di lautan Sungai Ampalam ini kerana sakit. Kuasa ayah meresap ke tubuhku sejak aku dilahirkan dari kandungan emak. Akulah ratu di lautan ini dan suamiku raja kuda kepang, istanaku berada di dasar laut.
“Walaupun begitu jika mandi di sungai ini amat terlarang sama sekali kecuali dibenarkan memakan buah ampalam itu. Selesailah ceritaku, kita tidak akan bertemu lagi, selamat tinggal,” jelas perempuan misteri itu dan seterusnya melompat berenang ke dalam laut.
Selepas mendengar cerita itu, Wang Mitar dan Wang Piut pun bergegas pulang ke rumah serta memberitahu orang kampung mereka agar tidak bermandi-manda di situ lagi kerana dianggap keramat.

