LONDON, 8 APRIL – Seorang anak damit perempuan telah menjadi anak pertama di United Kingdom (UK) yang lahir hasil daripada pemindahan rahim, selepas ibu kandungnya menerima organ tersebut daripada kakaknya, menurut kenyataan sebuah hospital di London, hari ini.
Amy dilahirkan pada 27 Februari lalu di Hospital Queen Charlotte’s and Chelsea, London, dua tahun selepas ibunya, Grace Davidson, 36, menjalani pemindahan rahim yang didermakan oleh kakaknya sendiri, Amy Purdie, 42.
“Kami telah menerima anugerah paling berharga yang pernah kami impikan,” kata Grace.
Beliau turut menyatakan harapan agar kejayaan ini menjadi realiti yang menakjubkan pada masa hadapan serta menyediakan pilihan tambahan kepada wanita yang tidak berupaya mengandung anak sendiri.
Bapa Amy, Angus Davidson berkata detik kelahiran anak mereka disambut oleh ramai petugas kesihatan yang membantu sepanjang proses tersebut. “Kami sudah lama menahan emosi, hampir 10 tahun dan akhirnya ia dapat diluahkan dengan linangan air mata,” katanya.
Grace, 36, menghidap sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser (MRKH) menyebabkan dia dilahirkan tanpa rahim yang berfungsi.
Dia menjadi wanita pertama di UK yang menerima pemindahan rahim, yang didermakan oleh kakaknya, Amy Purdie, 42, seorang ibu kepada dua anak perempuan berusia 10 dan enam tahun.
Pemindahan rahim itu dilakukan pada Februari 2023 di Pusat Pemindahan Organ Oxford, di bawah naungan Yayasan Hospital Universiti Oxford.
Profesor Richard Smith, pakar bedah sakit puan yang turut mengetuai program penderma hidup UK, berkata kelahiran anak damit Amy merupakan ‘hasil daripada penyelidikan lebih dari 25 tahun.’
Sejak prosedur pertama dilakukan di Sweden pada 2013, lebih 100 pemindahan rahim telah dijalankan di seluruh dunia dan kira-kira 50 anak damit sihat telah dilahirkan. – AFP
