LOS ANGELES, 21 DIS – Seorang pemandu mabuk di California melanggar papan tanda yang memberi amaran bahawa polis sedang memburu sesiapa yang memandu di bawah pengaruh alkohol – dan ditahan serta-merta.
Clarissa Hernandez telah meminum satu pain tequila sebelum dia merempuh papan tanda elektronik di Palm Springs pada Ogos, menurut polis.
Pegawai yang mengawal pusat pemeriksaan DUI tidak jauh dari kawasan itu bergegas ke Land Rover yang remuk ketika Hernandez keluar terhuyung-huyung.
“Matanya merah dan berair, dan pertuturannya tidak jelas. Dia berjalan terhuyung-hayang ke hadapan dan ke belakang secara berterusan,” seorang pegawai Jabatan Polis Palm Springs yang dikenali sebagai J. Valdiva menulis dalam satu laporan.
“Dia marah, suka melawan dan agresif,” tulis pegawai itu, sambil menambah ketika disoal siasat, Hernandez berkata dia telah meneguk habis tequilanya hanya 10 minit sebelum kemalangan itu.
Hernandez, 27, yang berasal dari Texas, mengaku bersalah melawan dengan sengaja dan memandu di bawah pengaruh alkohol ketika dia hadir di mahkamah semalam.
Dia dijatuhi hukuman percubaan tiga tahun, kata pejabat Peguam Daerah Riverside.
Polis di California kerap menyediakan pusat pemeriksaan dalam usaha untuk menangkap pemandu yang tidak berlesen, tidak mempunyai insurans atau cacat. – AP


