Wanita Malaysia antara kes baharu komuniti di Singapura

SINGAPURA, 19 JAN – Wanita Malaysia berusia 66 tahun adalah satu daripada dua kes jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan oleh Singapura pada Isnin.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, warga emas yang juga pesara itu adalah pemegang pas lawatan jangka panjang dan tinggal di negara itu sejak Januari tahun lepas.

Dilabelkan sebagai kes 59395, wanita berkenaan adalah ahli keluarga kepada kes 59365, iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran di Pasukan Polis Singapura, 2 Mowbray Road di sini. Lelaki berkenaan disahkan positif COVID-19 pada 16 Januari.

MOH memaklumkan bahawa wanita berkenaan didapati mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (ARI) dan cirit-birit pada 9 Januari lepas dan kehilangan rasa pada 14 Januari, namun belum mendapatkan rawatan.

Setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes 59365, wanita terbabit telah dihubungi oleh MOH pada 16 Januari dan menjalani ujian COVID-19 apabila menunjukkan mempunyai gejala. – Bernama