Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita mampu memperkasa pertanian

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kaum wanita membekal lebih 50 peratus makanan dunia dan 43 peratus adalah dalam bidang pertanian dan di negara-negara ASEAN, Thailand dan Filipina mempunyai kaum wanita yang paling aktif dalam bidang pertanian.

    Negara Brunei Darussalam kini mempunyai kira-kira 5,545 orang pengusaha yang mana 96 peratus daripadanya ialah pengusaha lelaki dan selebihnya pengusaha wanita.

    Perkara ini telah disentuh oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman semasa menyampaikan ceramah perdana bertajuk ‘Wanita Sebagai Pendukung Aspirasi Negara Dalam Bidang Pertanian’ pada Majlis Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2018 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

    Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Majlis Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2018. Berangkat sama ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
    YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa menyaksikan Pameran Ringkas Pertanian.
    YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyaksikan Pameran Ringkas Pertanian.
    YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan Pameran Ringkas Pertanian.
    Datin Seri Paduka Hajah Elinda ketika menyampaikan sembah alu-aluan.
    Profesor Dr Hajah Zohrah ketika menyampaikan ceramah perdana bertajuk ‘Wanita Sebagai Pendokong Aspirasi Negara Dalam Bidang Pertanian’.

    Keberangkatan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersama kerabat diraja telah dijunjung oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datin Seri Paduka Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohamed yang juga selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Ceramah Perdana Majlis Ilmu sempena Majlis Ilmu 2018 bersama isteri-isteri kepada pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018

    Menurut Profesor Dr Hajah Zohrah, dalam kalangan pengusaha tempatan berkenaan, 65.9 peratus mempunyai tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai jenis tanaman, 12.4 peratus ternakan, 11.5 peratus tanaman hiasan dan 0.46 peratus pelbagai komoditi.

    Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan akan menumpukan kepada melaksanakan strategi-strategi utama melalui inisiatif dan insentif seperti menawarkan tapak perusahaan, menawarkan tapak-tapak tambahan, menukarkan sistem moden dan berteknologi tinggi dan memberi khidmat nasihat teknikal.

    Profesor Dr Hajah Zohrah menjelaskan ceramah perdana berkenaan diharap agar dapat mengubah persepsi kaum-kaum ibu, isteri, anak-anak yang mungkin belum mempunyai pekerjaan mengenai bidang pertanian sebagai kerjaya atau sumber pencarian ke arah yang lebih positif, agar sama-sama mendokong hasrat negara untuk menjadikan sektor pertanian sebagai survivabiliti bangsa dan negara.

    “Kaum wanita juga pada zaman Rasulullah SAW menggembala haiwan ternakan seperti kambing, biri-biri, lembu dan kerbau sebagai sumber ekonomi mereka. Dengan melakukan aktiviti menggembala haiwan tersebut, kaum wanita dapat menghasilkan pendapatan untuk diri sendiri, keluarga dan seterusnya dapat menjana ekonomi negara.”

    Menurut beliau, keterlibatan wanita dalam aktiviti menggembala kambing dan biri-biri itu menunjukkan wanita juga turut sama menjalankan kegiatan pekerjaan bagi mendapatkan hasil pendapatan seperti mana yang dilakukan oleh golongan lelaki.

    “Ini menunjukkan tidak hanya golongan lelaki sahaja yang melakukan aktiviti pekerjaan di luar rumah tetapi wanita juga boleh melakukan aktiviti di luar rumah untuk mencari sumber pendapatan bagi menjana ekonomi rumah tangga,” tambah beliau.

    “Pada zaman Rasulullah SAW juga sudah ada golongan wanita yang bercucuk tanam seperti menanam buah kurma sebagai aktiviti pekerjaan mereka. Bahkan, sebahagian para isteri Rasulullah SAW memilih pertanian sebagai peruntukkan keperluan yang diberikan oleh Baitulmal kepada mereka.

    “Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa wanita juga amat berperanan penting dalam aktiviti pertanian sehingga mampu mempunyai kebun-kebun yang besar untuk aktiviti bercucuk tanam. Tidak hanya golongan lelaki sahaja, golongan wanita juga mampu dan mempunyai martabat yang tinggi pada zaman Rasulullah SAW dalam aktiviti pertanian yang melibatkan aktiviti bercucuk tanam.”

    Menurutnya lagi, fungsi UTB adalah untuk mengeluarkan sumber tenaga manusia dalam bidang pertanian dan berkaitan yang mana UTB juga menjalankan penyelidikan untuk mendokong perkembangan pertanian negara.

    YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah kemudiannya dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Ringkas Pertanian sebelum dijunjung berangkat ke Royal Lounge bagi menandatangani lembaran kenangan serta bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018.

    Sebelum itu, bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Dayang Norainiyanti.

    Acara pada tahun ini diungkayahkan bersama oleh JPM, KSSUP, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan Kementerian Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda