ROM, 25 MEI – Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah jentolak yang sedang mengundur di sebuah pantai di Itali pada pagi kelmarin, lapor media tempatan menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Kejadian berlaku di pantai peranginan Cervia, wilayah Emilia-Romagna, ketika mangsa berada berdekatan gigi air sebelum dilanggar jentolak yang sedang mengundur. Mangsa dipercayai berusia antara 40 hingga 50 tahun.
Menurut laporan, terdapat beberapa orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Pemandu jentolak menyedari insiden itu, keluar dari kenderaan dan segera menjerit meminta bantuan.
Masih belum jelas tujuan sebenar jentolak itu berada di kawasan pantai.
Laporan awal menyatakan ia digunakan untuk kerja-kerja persediaan menjelang musim pelancongan, namun persatuan penyelamat tempatan kemudian menjelaskan menerusi Facebook bahawa kerja-kerja itu telah selesai beberapa minggu lalu.
“Jentolak itu tidak berada di pantai atas arahan persatuan dan tidak jelas mengapa pemandu berkenaan membawa kenderaan mekanikal ke kawasan pantai,” kata Presiden Persatuan Penyelamat, Fabio Ceccaroni.
Beliau turut mempersoalkan mengapa jentera sedemikian digunakan pada hujung minggu. – Bernama
