SAN JUAN, PUERTO RICO, 7 SEPT – Seekor jerung telah menyerang dan membunuh seorang penumpang kapal persiaran Amerika Syarikat (AS) yang sedang melakukan aktiviti menyelam di perairan sekitar Bahamas kelmarin, menurut pihak berkuasa.
Insiden itu melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun dari Pennsylvania dan berlaku di tempat menyelam laut popular berhampiran Green Cay di utara Bahamas, beritahu jurucakap polis Ketua Superintendan Chrislyn Skippings kepada The Associated Press.
“Ia sungguh malang,” katanya. Skippings berkata keluarga mangsa mengenal pasti ia sebagai serangan jerung lembu.
Syarikat Royal Caribbean International berkata dalam satu kenyataan kepada AP bahawa mangsa meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.
Mereka berkata wanita yang diserang itu mengambil bahagian dalam lawatan pantai di Nassau dan telah belayar menggunakan kapal siar ‘Harmony of the Seas’ yang bertolak dari Florida pada Ahad.
Kebanyakan serangan jerung di Caribbean telah berlaku di Bahamas, dengan dua insiden dilaporkan pada tahun 2019, di mana satu daripadanya menyebabkan kematian. Insiden itu melibatkan seorang wanita California Selatan yang sedang bercuti dan diserang oleh tiga ekor jerung berhampiran Pulau Rose, terletak setengah batu dari tempat serangan kelmarin berlaku. – AP