Wanita maut ditembak dalam rusuhan

LONDON, 19 April – Seorang wanita telah ditembak mati semasa rusuhan di Bandar Londonderry di Ireland Utara dan pembunuhan itu dianggap sebagai kejadian pengganas, kata polis hari ini, berikutan peningkatan keganasan terkini yang telah menggegarkan rantau yang bermasalah ini.

Walaupun wanita itu belum dikenal pasti secara rasmi, beberapa wartawan menamakannya sebagai Lyra McKee, seorang wartawan yang sebelum ini mempamerkan gambar semasa berlakunya rusuhan di bandar itu, yang juga dikenali sebagai Derry, disertai dengan kata-kata ‘Derry malam ini sangat menyedihkan.’

Gambar-gambar insiden rusuhan itu yang disiarkan di media sosial menunjukkan kereta dan van terbakar dan individu yang menutupi kepala dilihat melontarkan bom petrol dan bunga api di kenderaan polis.

“Dengan rasa sedih, saya mengesahkan bahawa malam ini berlaku tembakan di Creggan, di mana seorang wanita berusia 29 tahun telah terbunuh,” kata Penolong Ketua Konstabel Mark Hamilton dalam satu kenyataan di Twitter.

“Kami menganggap perkara ini sebagai insiden pengganas dan kami telah melancarkan siasatan terhadap pembunuhan tersebut.” Ia tidak jelas siapa yang telah melepaskan tembakan yang membunuh wanita itu, tetapi ahli politik republikan terkemuka menyalahkan ‘kononnya dilakukan oleh pembangkang’.

Sebuah kereta terbakar selepas bom petrol dilontarkan di kenderaan polis di kawasan Creggan Londonderry, di Ireland Utara pada 18 April lalu. – AFP

Wartawan Matthew Hughes mengenal pasti wanita yang mati itu sebagai salah seorang kawannya, McKee.

‘Saya baru menerima berita yang menyedihkan bahawa kawan @LyraMcKee dibunuh malam ini dalam kejadian keganasan di Derry,’ tulisnya di Twitter.

Leona O’Neill, seorang wartawan dengan Belfast Telegraph, berkata dia berada di sebelah wanita itu ketika dia ditembak.

‘Saya berdiri di sebelah wanita muda ini ketika dia mati ditembak malam ini di Creggan #Derry Saya menelepon ambulans tetapi polis segera membawanya ke hospital, di mana dia meninggal dunia.’ tweetnya.

Keganasan itu berlaku pada hujung minggu, ketika Republikan menentang kehadiran Britain di Ireland Utara sebagai menandakan ulang tahun pemberontakan 1916 terhadap pemerintahan British.

Pengeboman kereta dan rampasan dua van di Londonderry pada awal tahun ini turut dipersalahkan oleh kumpulan paramiliter. – AFP