TOKYO, 13 MAC – Seorang wanita berusia 22 tahun maut kelmarin selepas ditikam di sebuah jalan di pusat bandar Tokyo.
Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai pertikaian kewangan dengannya telah ditahan di lokasi kejadian, menurut polis.
Airi Sato diserang sekitar 9.50 pagi waktu tempatan ketika berjalan sendirian di kawasan perumahan berhampiran Stesen JR Takadanobaba di Daerah Shinjuku, lapor Kyodo News.
Ketika kejadian, Sato sedang melakukan penstriman langsung apabila seorang lelaki menyerangnya menggunakan pisau sepanjang kira-kira 13 sentimeter.
Mangsa, yang menetap di Tama, Tokyo ditikam berkali-kali di bahagian leher dan dada sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia kemudian.

Dalam kejadian itu, Jabatan Polis Metropolitan Tokyo menahan seorang lelaki bernama Kenichi Takano, 42 tahun.
Menurut polis, Sato dan suspek berkenalan pada 2021 melalui aktiviti perkongsian video wanita itu, dan Takano dipercayai mula memberikan pinjaman wang kepadanya sekitar 2022.
Semasa ditahan, polis menemukan sebilah pisau yang berlumuran darah di kaki Takano, manakala satu lagi berada di dalam beg galasnya.
Takano dilaporkan berkata, “Kami ada masalah. Saya telah meminjamkan lebih 2 juta yen (AS$13,500) kepadanya tetapi dia tidak memulangkannya.”
Kyodo News melaporkan bahawa Sato dan Takano sebelum ini pernah mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak polis di luar Tokyo mengenai masalah mereka.
Pihak polis mendedahkan bahawa Takano, yang berasal dari Oyama di Wilayah Tochigi, pergi ke Tokyo selepas melihat pengumuman bahawa Sato akan bersiaran langsung semasa perjalanannya di Laluan Lingkaran Yamanote di ibu negara.
Dia dikatakan mengesan lokasi Sato dengan menonton siaran langsung itu. – Bernama