SINGAPURA, 24 FEB – Seorang wanita Singapura mengaku menyerang, mendera dan akhirnya membunuh pembantu rumah dari Myanmar dalam apa yang disebut oleh pendakwa sebagai salah satu kes penderaan pembantu rumah paling ngeri di negara itu.
Negara pusat kewangan dunia itu merupakan tempat tinggal kira-kira 250,000 pembantu rumah yang kebanyakannya berasal dari negara-negara Asia yang lebih miskin, dan kisah penganiayaan adalah perkara biasa. Tetapi penderaan yang dilakukan terhadap Piang Ngaih Don sangat mengerikan, dengan pembantu rumah tersebut se-ring didera setiap hari.
Gaiyathiri Murugayan, 40, mengaku bersalah kelmarin atas 28 tuduhan termasuk pembunuhan terhadap pembantu rumah berusia 24 tahun itu. Dia akan dihukum dan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup.
“Kelakuan seumpama yang sangat tidak berperikemanusiaan ini perlu dihukum dengan adil dan setimpal menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk mahkamah,” kata pendakwa raya.
Pembantu rumah itu diambil bekerja oleh Gaiyathiri dan suaminya, seorang pegawai polis, pada tahun 2015 untuk membantu menjaga anak perempuan mereka yang berusia empat tahun dan anak lelaki mereka yang berusia satu tahun.
Pekerja rumah tangga itu akhirnya meninggal dunia pada bulan Julai 2016. – AFP