Wanita nafi tuduhan lupus harta curi

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Seorang wanita yang berdepan tuduhan melupuskan harta curi, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.

Naemah binti Haji Abas, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Pemangku Ketua Majistret, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.

Tertuduh dan seorang rakannya didakwa dengan sukarela membantu seorang lelaki untuk melupuskan harta curi iaitu projektor Dell DLP pada 23 November 2017 kira-kira jam 11 malam di Kampung Setia ‘A’.

Dia yang mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai barang itu adalah harta curi didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Hukuman Jenayah yang membawa hukuman penjara bagi tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman membuat permohonan untuk kes tertuduh disatukan dengan kes rakannya yang akan didengar pada 27 Ogos 2018.

Pemangku Ketua Majistret, Pengiran Masni membenarkan permohonan dan melepaskan tertuduh dengan ikat jamin sehingga sebutan seterusnya.