WELLINGTON, 4 OGOS — Seorang wanita New Zealand (NZ) ditahan atas tuduhan cuai dalam menjaga kanak-kanak selepas seorang pemandu bas menemui seorang budak dalam beg pakaian yang disimpan di dalam ruang bagasi kenderaan itu.
Pemandu bas tersebut menyedari terdapat pergerakan di dalam beg pakaian semasa berhenti sebentar di penempatan Kaiwaka, utara Auckland, selepas seorang penumpang meminta akses ke ruang bagasi, menurut kenyataan pihak berkuasa.
Apabila pemandu membuka beg pakaian, mereka menemui kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dalam keadaan sangat panas tetapi tidak cedera sebelum terus dibawa ke hospital.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan tempoh masa kanak-kanak itu berada di dalam beg dan destinasi bas tersebut.
Wanita yang identitinya dirahsiakan telah ditahan atas dakwaan penganiayaan atau pengabaian kanak-kanak dan sepatutnya dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Syarikat bas InterCity mengesahkan kepada saluran berita New Zealand bahawa kejadian tersebut melibatkan salah satu kenderaannya.
Syarikat tersebut juga tidak mengenakan tambang untuk kanak-kanak di bawah umur tiga tahun kerana boleh duduk secara percuma di atas pangkuan orang dewasa. – AP


