WELLINGTON, 1 FEB – Seorang jurnalis New Zealand yang hamil mendakwa dirinya tidak mempunyai tempat lain untuk pergi kecuali ke Afghanistan akan dibenarkan untuk pulang ke negara asal, selepas pegawai memberikan pengecualian daripada sekatan kemasukan COVID-19 yang ketat di tengah-tengah bantahan awam.
Pelapor, Charlotte Bellis, hari ini berkata dia akan kembali ke New Zealand bulan hadapan untuk melahirkan anak, selepas diberikan tempat menjalani kuarantin yang diuruskan oleh negara itu berikutan permintaan keduanya.
Sempadan New Zealand ditutup hampir dua tahun bagi mengawal penularan koronavirus di negara itu. Hanya 800 buah bilik sebulan ditetapkan untuk warganegara New Zealand dan pemegang visa yang perlu segera pulang.
“Kami sangat teruja untuk pulang dan dikelilingi oleh ahli keluarga dan rakan pada waktu yang istimewa,” Bellis berkata dalam kenyataan, dan berterima kasih kepada kerajaan atas sokongan mereka.
Kejadian yang menimpa ke atas wanita berusia 35 tahun yang terkandas di luar negara disebabkan pengawalan sempadan yang ketat, telah memberi tekanan kepada kerajaan Perdana Menteri Jacinda Ardern untuk melonggarkan sekatan.
“Kami kecewa dengan kejadian ini,” kata Bellis yang berada di Afghanistan.
Bellis bekerja untuk Al Jazeera di Kabul apabila Afghanistan jatuh di tangan Taliban.
Dia tidak menyedari bahawa dia sedang hamil sehingga dia berada di ibu pejabat syarikat di Doha, Qatar, di mana hamil tanpa berkahwin adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang. – AFP
