COLOMBO, 15 OKT – Polis Sri Lanka menahan wanita paling dikehendaki negara itu di Nepal selepas dia disyaki terlibat dalam pembunuhan berprofil tinggi seorang pengedar dadah di dalam mahkamah Colombo, menurut pihak berkuasa hari ini.
Suspek, Ishara Sewwandi, 25 tahun, dituduh menyamar sebagai peguam dan menyeludup sepucuk revolver yang disembunyikan di dalam naskhah Kanun Tatacara Jenayah ke dalam mahkamah pada Februari lalu.
Rakannya yang turut menyamar sebagai peguam kemudian menembak mati Ganemulle Sanjeewa, seorang tertuduh kes pengedaran dadah yang sedang dibicarakan ketika itu. Penembak tersebut berjaya ditahan sejurus selepas kejadian.
Jurucakap polis, F. U. Wootler berkata Sewwandi ditahan bersama lima individu lain di Nepal minggu ini dan akan diekstradisi ke Sri Lanka untuk menghadapi pertuduhan membunuh.
“Kami menerima bantuan daripada Interpol untuk mengesan mereka, termasuk sokongan IT, risikan dan operasi daripada polis Nepal,” kata Wootler kepada AFP.
Polis Sri Lanka sebelum ini menawarkan ganjaran sebanyak 1.2 juta rupee (AS$4,000) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan Sewwandi. Dia dipercayai melarikan diri ke India dengan bot sebelum menuju ke Nepal.
Menurut jurucakap polis Nepal, Binod Ghimire, enam individu termasuk dua wanita dan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah telah ditahan dalam operasi selama empat hari yang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Sri Lanka. – AFP


