Monday, December 2, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita penyumbang penting kemajuan negara

    Oleh Yusrin Junaidi –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Wanita di Negara Brunei Darussalam adalah penting untuk kemajuan negara dengan menyumbang secara aktif dan adil kepada masyarakat. 
     
    Wanita merangkumi hampir separuh iaitu 47.2 peratus daripada jumlah penduduk negara dan oleh itu, penyertaan penuh mereka adalah penting untuk mencapai matlamat pembangunan negara.
     
    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Wanita (AMMW) kali ke-5 yang diadakan secara hibrid. 
     
    Mesyuarat juga turut dihadiri oleh Menteri-menteri AMMW dan wakil, serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN. Manakala Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.
     
    Dengan tema Towards an Inclusive Society through Gender Mainstreaming and Women Empowerment, mesyuarat tersebut mengesahkan lagi komitmen ASEAN untuk mempromosikan pemerkasaan wanita dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif di rantau ASEAN.
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menghadiri AMMW kali ke-5 yang diadakan secara hibrid. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Ia dirasmikan dan dipengerusikan oleh Union Minister for Social Welfare, Relief and Resettlement, Ministry of Social Welfare, Relief and Resettlement, The Government of the Republic of The Union of Myanmar, Tuan Yang Terutama Dr Soe Win, selaku Menteri AMMW.
     
    Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa pada bulan Disember tahun lepas, Brunei Darussalam telah menyelesaikan penyelidikan mengenai pembangunan wanita di Brunei Darussalam, dengan diterajui oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). 
     
    Penyelidikan itu mengesahkan bahawa pembangunan wanita di negara ini telah berkembang maju dengan sangat baik, yang mana ia dibuktikan melalui penglibatan wanita yang tinggi dalam pendidikan dan tenaga kerja. 
     
    Dalam mengiktiraf pelbagai peranan wanita sebagai penjaga, isteri dan ibu, penyelidikan tersebut juga menekankan keperluan untuk memperkukuh sokongan untuk wanita yang bekerja, seperti dalam penjagaan kanak-kanak dan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan.
     
    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa Pelan Tindakan Wanita yang akan disediakan melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial akan memberi tumpuan kepada strategi-strategi untuk penyertaan ekonomi, pembangunan kemahiran, dan pekerjaan, bagi memastikan dasar-dasar boleh menangani keperluan wanita di negara ini dan memperkasa mereka untuk menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan negara.
     
    Beliau juga mengongsikan bahawa terdapat sokongan yang padu terhadap usahawan-usahawan wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan, bantuan kewangan dan pembiayaan mikro kredit yang disediakan melalui agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
     
    Yang Berhormat Dato percaya bahawa pendekatan senegara adalah kunci kepada pengarusutamaan jantina dan pemerkasaan wanita, dengan penglibatan pihak kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil, sektor swasta, dan individu yang mana kesemuanya memainkan peranan dalam mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif, makmur dan saksama.
     
    Mesyuarat itu seterusnya mengesahkan Kenyataan Bersama Menteri-menteri AMMW ke-5 mengenai pengarusutamaan jantina dan pemerkasaan wanita yang mengesahkan komitmen semua negara anggota ASEAN terhadap visi ASEAN sebagai Komuniti ASEAN berasaskan peraturan, berorientasikan rakyat dan berpusatkan rakyat, yang mana wanita dan lelaki adalah rakan kongsi yang setara dan penerima manfaat pembangunan mampan.
     
    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, dan pegawai-pegawai kanan KKBS.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda