Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Wanita pepijat’ didik kanak-kanak tentang biodiversiti

    SELANGOR – Aida May KB, 37, dikenali sebagai ‘wanita pepijat’ di tempat kerja dan itu adalah nama julukan yang diterimanya dengan bangga.

    Di pejabatnya di Kuala Lumpur, rakan sekerjanya sering singgah di mejanya untuk menjenguk sebuah terarium kecil, di mana isopod kecil berkeliaran di antara lumut dan kulit kayu.

    “Saya tidak kisah dipanggil wanita pepijat kerana saya suka makhluk kecil ini,” kata Aida May semasa temu bual dari rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

    Isopod, juga dipanggil pepijat pil, kutu kayu atau roly-poli, ialah krustasea kecil yang mempunyai kaitan dengan ketam dan udang. Biasanya ditemui di bawah kayu api dan daun, serangga tersebut mengitar semula bahan organik secara senyap ke dalam tanah yang sihat.

    Aida May ialah pengurus serantau di sebuah syarikat perlengkapan pejabat, tetapi di luar kerja, dia seorang pembina terarium dan penjaga isopod yang tegar.

    Aida May mengendalikan bengkel untuk mengajar orang cara-cara membina ekosistem mini dengan lumut, kayu, tanah dan isopod. – ANN/The Star
    Menerusi bengkel, Aida May memperkenalkan kanak-kanak kepada isopod, sementara membantu mereka memahami biodiversiti. – ANN/The Star
    Awww… sungguh comel isopod cubaris jupiter. – ANN/The Star
    Isopod cubaris amber duck terkenal dengan warna kuning jingga, menyerupai ‘itik emas’. – ANN/The Star
    Usah risau, isopod armadillidium gestroi isopods ini tidak melompat. – ANN/The Star

    Sejak tahun lepas, dia telah menganjurkan bengkel kecil, mengajar orang bagaimana membina ekosistem kecil dengan lumut, kayu, tanah dan isopod.

    Dia adalah antara segelintir rakyat Malaysia yang mengamalkan hobi ini. Tetapi lebih daripada sekadar menjaga pepijat, matlamatnya adalah untuk mengajar kanak-kanak tentang biodiversiti dan keseimbangan alam semula jadi.

    “Isopod daratan adalah detritivor, bermakna mereka memakan bahan organik yang mereput, ” jelasnya. “Mereka memainkan peranan penting dalam memecahkan sampah daun dan mengitar semula nutrien kembali ke dalam tanah. Proses itu menyokong pertumbuhan tumbuhan dan kesihatan ekosistem keseluruhan.”

    Aida May mempunyai 10 spesies isopod dalam koleksinya, termasuk cubaris murina, cubaris ambar duck, armadillidium gestroi, cubaris jupiter dan crabby nguyen.

    Secara keseluruhan, kira-kira 200 hidup (dan membiak) dalam tab yang dipenuhi dengan kayu dan daun lembap.

    Dia mengimportnya daripada pembekal yang mendapatkannya dari Thailand, Vietnam dan Perancis. Harga berkisar secara meluas dari RM2 hingga RM60 setiap isopod, bergantung kepada jarang, warna dan spesies.

    Perjalanan Aida May bermula dengan akuarium. Sedekad lalu, dia menyimpan sebanyak 10 tangki di rumah. Namun apabila kerja semakin sibuk, penyelenggaraan menjadi sukar.

    “Tangki ikan memerlukan pembersihan yang berterusan dan saya tidak dapat meneruskannya,” jelasnya. Inginkan sesuatu yang hidup dan lebih mudah diselenggara, dia pun beralih kepada terarium.

    “Tetapi tumbuhan sahaja berasa statik. Saya mahukan sesuatu yang lebih dinamik, jadi saya mencari makhluk yang boleh hidup dalam terarium. Ketika itulah saya menemui isopod di media sosial. Ia menarik, mudah dijaga dan sesuai untuk gaya hidup saya.”

    MENGATASI RASA MENJIJIKKAN

    Apabila Aida May mula-mula memperkenalkan isopod di bengkel, dia melihat reaksi bercampur-campur.

    “Sesetengah orang berkata ‘Eww, pepijat!’ atau bertanya, ‘Adakah awda menjual lipas berwarna-warni?'” ujarnya. “Tetapi yang lain berkata, ‘Aww, mereka sungguh comel!’ atau ‘Lihat kaki kecil mereka!'”

    Sebaik sahaja peserta mengetahui bahawa isopod adalah krustasea darat dan bukannya serangga, rasa ingin tahu mereka bertambah.

    Kanak-kanak khususnya suka memerhati pergerakan mereka, manakala ibu bapa menghargai disebabkan ia tidak berbahaya dan mudah dijaga.

    “Banyak usaha telah dilakukan dalam mendidik orang ramai tentang apa sebenarnya isopod. Ia tidak boleh berlari pantas, ia tidak menggigit dan ia bernafas melalui insang. Jika udara terlalu kering, ia tidak dapat bertahan.”

    Anehnya, beberapa kanak-kanak di bengkelnya sudah mengetahui tentang isopod. Bukan dari kelas sains, tetapi dari permainan video.

    “Sesetengah kanak-kanak memberitahu saya bahawa mereka mula-mula belajar tentang pepijat pil atau roly poli daripada permainan video, Dungeons & Dragons,” kata Aida sambil tersenyum.

    “Sungguh menakjubkan melihat bagaimana permainan boleh mencetuskan rasa ingin tahu dunia sebenar,” kata Aida, yang berkongsi imej isopodnya di Instagramnya.

    Dia menganjurkan bengkel terarium di The School, Jaya One di PJ pada hujung minggu.

    Aida bimbang ramai kanak-kanak hari ini membesar terputus hubungan dengan dunia semula jadi, sebahagiannya kerana ibu bapa lebih bersifat melindungi anak mereka.

    Didikannya sendiri berbeza. Ibunya, yang bekerja di Jabatan Pertanian, mempunyai kebun tanaman yang boleh dimakan di rumah. Aida dan abang-abangnya membantu membuat pengkomposan, mempelajari cara tumbuh-tumbuhan tumbuh dan menghabiskan masa berjam-jam di luar rumah.

    Mereka juga terpaku pada dokumentari alam semula jadi yang dihoskan oleh ahli biologi British dan hos TV, Sir David Attenborough. “Programnya mencetuskan minat sepanjang hayat terhadap dunia semula jadi,” katanya.

    “Kami akan bermain dengan tanah dan kami ternyata tidak mempunyai masalah,” katanya.

    “Tetapi pada masa kini, sesetengah ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka menyentuh tanah. Saya telah berjumpa dengan kanak-kanak yang takut kepada serangga, malah rama-rama.”

    BERAKAR UMBI DALAM ALAM SEMULA JADI

    Melalui bengkelnya, Aida ingin menunjukkan kepada keluarga bahawa menyimpan isopod dalam terarium boleh menjadi sesuatu menyeronokkan, selamat dan memberikan didikan.

    “Menjaga terarium adalah mudah dengan bimbingan yang betul, ” jelasnya.

    Baginya, terarium adalah ajaib. “Ia adalah ekosistem serba lengkap, seperti mencipta dunia kecil di dalam balang atau tangki. Menyaksikan tumbuh-tumbuhan dan isopod wujud bersama dan berkembang maju bersama-sama amat menggembirakan.”

    Sebelum memulakan koleksinya sendiri, Aida menghabiskan masa berbulan-bulan membaca buku dan mencari di media sosial untuk memastikan dia dapat meniru persekitaran semula jadi mereka.

    Di luar hobinya, Aida turut menjadi sukarelawan Epic Homes, sebuah syarikat bukan untung yang membina rumah untuk masyarakat Orang Asli.

    Pemeliharaan isopod masih sesuatu yang baharu di Malaysia, tetapi Aida berharap lebih ramai orang akan menemui tarikannya.

    “Orang ramai sudah memelihara haiwan peliharaan eksotik seperti tikus, reptilia dan serangga. Mengapa tidak isopod? Ia menarik untuk ditonton, murah berbanding dengan banyak haiwan peliharaan selain penyelenggaraan yang rendah.”

    Apa yang paling menggembirakan hatinya ialah anak-anak selalunya yang membawa ibu bapa mereka bersama.

    “Kadangkala, ibu bapa hadir hanya untuk menemani anak-anak mereka, tetapi akhirnya menikmati pengalaman itu sendiri.

    “Bagi keluarga, ia menjadi satu cara untuk belajar tentang alam semula jadi bersama-sama dan itulah pengalaman terbaik.” – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda