Kematian pelakon Lee Sun Kyun akhirnya terbela selepas wanita yang didakwa melakukan peras ugut terhadap aktor itu dijatuhi hukuman penjara 3 tahun 6 bulan.
Wanita yang juga pengurus sebuah pusat hiburan menerima hukuman berkenaan atas pertuduhan meminta wang sebanyak RM180,000 daripada mendiang.
Mahkamah Jenayah Incheon turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap rakan subahatnya yang juga seorang pelayan pusat hiburan atas pertuduhan sama.
Menurut hakim Hong Eun Sook, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira tindakan peras ugut dilakukan dua wanita terbabit menjadi punca kematian Sun Kyun.
“Mangsa menderita masalah mental disebabkan ugutan kedua-dua tertuduh terhadapnya. Tidak dinafikan mereka menajdi punca kepada bebanan mental dihadapi mangsa.
“Mangsa turut terpaksa melalui siasatan atas penyalahgunaan dadah sehingga dia mengambil keputusan untuk mengambil nyawanya sendiri disebabkan tekanan,” katanya.
Sebelum ini, semasa kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa, Sun Kyun ditemui mati dipercayai bunuh diri di sebuah taman di Bandar Seoul pada 27 Disember tahun lepas.
Mendiang dilaporkan ada membuat laporan polis terhadap dua wanita berkenaan berhubung kes ugutan.
Pelakon itu juga dikatakan sudah menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.6 juta kepada mereka.
Sung Kyun mendakwa dirinya diperangkap dua wanita terbabit serta dituduh mengambil barang terlarang ditudung mengambil beberapa jenis dadah.
Ujian saringan dadah yang dilakukan sebanyak dua kali mendapati aktor itu bersih daripada sebarang pengambilan barang terlarang. – Agensi