Wanita perintis penternakan rumpai laut di India

RAMESWARAM, INDIA – Mengenakan sari berwarna-warni dan kemeja, Lakshmi Murgesan menyelam ke dalam perairan biru langit di luar pantai selatan India untuk mengumpul rumpai laut, yang dialu-alukan oleh saintis sebagai tanaman ajaib yang menyerap lebih banyak karbon dioksida daripada pokok.

India ialah pencemar karbon ketiga terbesar dunia, di belakang China dan Amerika Syarikat (AS), dan masih belum menetapkan tarikh sasaran untuk pelepasan karbonnya mencecah sifar.

Namun pihak berkuasa sedang menimbang bagaimana penternakan rumpai laut dapat membantu mengurangkan kesan pelepasan gas rumah hijau, menterbalikkan pengasidan lautan dan mempertingkat alam sekitar marin, serta menyediakan mata pencarian mampan untuk komuniti pantai yang tersisih.

“Saya melakukannya untuk anak saya. Ia memerlukan kerja keras, tetapi saya berupaya memperoleh keuntungan lumayan daripada kerja selama empat bulan ini,” kata Murgesan, yang memperoleh 20,000 rupee setiap bulan menternak makroalga tersebut.

“Saya tidak mampu menghantar anak saya ke sekolah tetapi selepas melakukan kerja ini, saya dapat menghantar mereka ke kolej,” tambahnya, sambil tersenyum ketika dia timbul dari perairan di Rameswaram, di selatan negeri Tamil Nadu.

Seorang wanita mengusahakan rumpai laut selepas memetiknya dari perairan di luar pantai Rameswaram di negeri Tamil Nadu, India. – AFP
Wanita menanam rumpai laut di atas rakit buluh di perairan di luar pantai Rameswaram di Tamil Nadu, India. – AFP

M. Ganesan, saintis marin kerajaan, berkata rumpai laut menyediakan satu jalan penyelesaian kerana habitat pantai dan tanah lembap menyerap lima kali ganda karbon lebih daripada hutan.

“Ia merupakan tanaman ajaib dari banyak perspektif, ia mesra alam, ia tidak menggunakan tanah atau air. Ia menyerap karbon dioksida yang larut dalam air semasa proses fotosintesis dan mengoksigenkan seluruh ekosistem marin,” beritahu Ganesan kepada AFP.

India, yang mempunyai pinggir laut sepanjang 8,000 kilometer, kini berhasrat merangsang pengeluaran daripada 30,000 tan kepada lebih satu juta tan setiap tahun menjelang 2025.

Di seluruh dunia, penghasilan rumpai laut bernilai kira-kira AS$12 bilion pada 2019 dan dijangka meningkat kepada AS$26 bilion pada 2025, dengan China dan Indonesia mempunyai bahagian pasaran sebanyak 80 peratus.

Murgesan merupakan sebahagian daripada kumpulan wanita yang bekerja untuk menternak rumpai laut di atas rakit buluh, sebelum mengumpul dan mengeringkannya.

Perairan tropika di Tamil Nadu membentuk alam sekitar yang ideal, dengan satu rakit boleh mengumpul sehingga 200 kilogram dalam kira-kira 45 hari.

Produk itu seterusnya dijual di pasaran di seluruh negara serta di AS dan Australia menerusi AquAgri, sebuah syarikat swasta yang mempromosi penternakan alga di India.

Popular dalam sajian Asia Timur dan Asia Tenggara, rumpai laut juga digunakan dalam ubat, kosmetik, bio baja dan bio bahan api.

“Rumpai laut mempunyai kegunaan utama sebagai tanaman perangsang bio untuk menambah produktiviti dan menjadikan tanaman lebih berdaya tahan kepada tekanan iklim. Ia juga digunakan sebagai ramuan utama dalam pemprosesan daging dan makanan,” beritahu Abhiram Seth, pengarah urusan AquAgri kepada AFP.

Sementara ia belum menjadi popular di India, pada Julai kerajaan mengumumkan kira-kira AS$85 juta dalam subsidi untuk inisiatif penternakan rumpai laut dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penternakan rumpai laut telah pun menjadi aktiviti yang lazim dilakukan di Jepun, China, Indonesia dan Filipina.

Minat semakin berkembang di Australia, yang telah menggaris kasar satu pelan untuk membangunkan industri bernilai AS$100 juta menjelang 2025.

Seth berkata timbulnya potensi untuk menikmati faedah daripada alam sekitar dan penternak seperti Murgesan.

“Rumpai laut membersihkan perairan. Pada masa sama penternak rumpai laut menerima pendapatan mampan tanpa perlu berpindah ke kawasan bandar untuk mencari kerja,” jelasnya.

Rumpai laut tidak memerlukan baja, air bersih ataupun racun perosak. Kelp, salah satu jenis yang paling banyak diternak, membesar pada kadar dua kaki sehari.

Mereka menyerap kira-kira 173 juta tan metrik karbon setiap tahun – pelepasan tahunan yang sama seperti negeri New York, menurut kertas pada 2016 dalam Nature Geosciences.

Satu kajian terbaharu oleh Universiti California mendapati dengan mencampurkan rumpai laut merah dalam makanan haiwan boleh mengurangkan pelepasan gas metana.

“Kini kami mempunyai bukti kukuh menunjukkan rumpai laut dalam diet lembu adalah berkesan untuk mengurangkan gas rumah hijau dan keberkesanan itu tidak berkurangan,” kata Ermias Kebreab, pengarah Pusat Makanan Dunia, dalam penyelidikan.

Selain menyerap karbon dioksida apabila ia hidup, apabila ia mati dan gugur ke dasar laut, rumpai laut juga mengekal karbon dalam mendapan, tambah Ganesan.

Bagaimanapun, saintis berkata mungkin timbulnya keburukan.

“Penghasilan berlebihan rumpai laut mempunyai kelemahan disebabkan ia membentuk makanan untuk kebanyakan penghuni terumbu karang seperti landak laut dan ikan terumbu,” kata ahli biologi marin Naveen Namboothi, dari Yayasan Dakshin, menambah pengeluaran mungkin mengganggu terumbu.

Menyedari akan risiko berkenaan, Nurgesan dan penternak lain bekerja dua hari sebulan dan tidak mengumpul rumpai semasa musim pembiakan ikan, di antara April dan Jun.

Penternak rumpai laut Vijaya Muthuraman, yang tidak pernah bersekolah, bergantung pada pengetahuan tradisional.

“Kami hanya menternak apa yang diperlukan dan dalam cara yang tidak mengancam atau membunuh ikan,” katanya, ketika duduk di pantai selepas bekerja seharian.

Risiko mengalami kecederaan akibat disengat ubur-ubur sentiasa membelenggu wanita berkenaan, namun mereka tidak berasa gentar, ketawa dan berborak ketika bekerja.

“Kami menghadapi banyak risiko tetapi kerja ini telah memberikan saya dan keluarga saya martabat,” katanya, menambah: “Taraf hidup kami telah meningkat dan sekarang penduduk lain dalam kampung saya juga mahu menjadi penternak rumpai laut.” – AFP