AMERIKA SYARIKAT – Ternyata mungkin ada sebab saintifik di sebalik wanita memerlukan tidur tambahan atau dikenali sebagai ‘beauty sleep’.
Kajian menunjukkan bahawa, secara purata, wanita memerlukan tidur lebih 11 minit lebih lama setiap malam berbanding lelaki.
Walaupun perbezaan ini mungkin kelihatan kecil, ia boleh mempunyai implikasi yang ketara untuk kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan.
Penyelidikan adalah terhad, tetapi sebab-sebabnya menyumbang kepada hormon, menurut laman web Sleep Foundation, yang dikendalikan oleh syarikat kesihatan tidur Amerika Syarikat (AS), Sleep Doctor.
Kaum wanita mengalami perubahan hormon yang tidak stabil sepanjang hidup mereka, daripada haid kepada kehamilan dan menopaus atau putus haid.
Setiap peringkat ini boleh mengganggu corak tidur mereka.
Wanita juga 40 peratus lebih berkemungkinan mengalami insomnia berbanding lelaki.
“Apabila bercakap tentang fisiologi, hormon wanita mempunyai peranan besar dalam tidur,” beritahu pakar kesihatan dan tidur wanita, Dr Aileen Alexander kepada majalah Glamour.
“Secara keseluruhan, ini bermakna wanita dikatakan mempunyai keperluan yang lebih besar untuk tidur dan lebih cenderung untuk tidur siang.”
Di luar faktor biologi, jangkaan dan tanggungjawab masyarakat juga menyumbang kepada keperluan tidur wanita.
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa wanita sering memikul sebahagian besar tugas rumah tangga dan penjagaan, yang membawa kepada peningkatan keletihan dan tekanan, menurut Glamour.
“Wanita biasanya adalah mereka yang bangun sepanjang malam untuk menyokong kanak-kanak, atau dalam beberapa kes, ibu bapa yang sudah tua,” kata Dr Alexander.
Tekanan tambahan ini mungkin memerlukan lebih banyak tidur untuk memulihkan dan mengekalkan fungsi kognitif yang optimum.
Walau bagaimanapun, keperluan tidur individu mungkin berbeza daripada seorang ke seorang, tanpa mengira jantina.
Faktor-faktor seperti umur, gaya hidup dan kesihatan keseluruhan semuanya menyumbang kepada tempoh tidur optimum seseorang.
“Walaupun kami memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk memahami jurang jantina antara keperluan dan kitaran tidur lelaki dan wanita, kesan tidak mendapat tidur yang cukup terbukti dan boleh memberikan kesan besar kepada lelaki dan wanita,” katanya.
Untuk mendapatkan rehat sewajarnya yang awda perlukan, pakar-pakar mengesyorkan orang dewasa tidur antara tujuh dan sembilan jam setiap malam.
Jika awda masih mendapati diri tidak mendapat rehat yang cukup, berbincang dengan doktor awda. – The Star