MANILA, 27 JUN – Wanita pertama baharu Filipina, Louise Araneta-Marcos menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk menyertai kerajaan suaminya, namun para pemerhati berkata dia berkemungkinan mempunyai pengaruh besar.
Peguam berusia 62 tahun, dengan nama gelaran ‘Liza’, itu menjauhi diri daripada tumpuan utama dan jarang memberi temu bual media.
Bagaimanapun beliau bukanlah seorang pemalu.
Tegas, pintar dan biasa mendapat apa yang dimahukan, Liza secara meluas dipercayai menjadi arkitek kepada kempen suaminya, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr bagi jawatan tertinggi itu, selepas mengetepikan ibunya Imelda yang berpengaruh dan kakaknya Imee, seorang senator.
Dan Liza, yang tidak memberi respons kepada permintaan bagi temu bual, berkemungkinan mengekalkan pengaruhnya selepas suaminya mengangkat sumpah pada Khamis, menurut para pemerhati dan orang yang mengenalinya.

“Liza seorang yang tegas, dalam banyak cara dia adalah tulang belakang BBM,” kata Michael Marcos Keon, sepupu Marcos Jr dan datuk bandar di Bandar Laoag, ibu negara kubu kuat di utara negara itu, wilayah Laoag. BBM adalah akronim bagi Marcos Jr.
“Saya tidak rasa dia membuat sebarang keputusan tanpa bercakap dengan isterinya,” kata seorang peguam di Manila yang menghadiri universiti bersama Liza.
“Dia (Liza) akan menjadi penasihat pertama, suara pertama untuk didengar, suara terakhir untuk didengar.”
Liza dikhabarkan mempunyai hu-bungan dingin dengan Imelda yang berusia 92 tahun dan kakak Marcos Jr, kedua-duanya tidak kelihatan semasa perhimpunan kempen presiden.
“Jelas bahawa dia (Liza) bertanggungjawab terhadap kempen dan dia mempunyai personaliti dan dia mendapat apa yang dimahukannya,” kata seorang pemerhati.
Liza dan Marcos Jr berkahwin di Itali pada 1993 dan mempunyai tiga anak lelaki. – AFP