BEIRUT, 4 OGOS – Isteri Presiden Syria Bashar al-Assad, Asma (gambar bawah) berkata dalam satu temu bual disiarkan lewat semalam, beliau kini ‘bebas’ sepenuhnya daripada kanser payu dara selepas setahun menerima rawatan.
“Perjalanan saya sudah berakhir. Saya akhirnya berjaya menakluki kanser,” kata Asma, kini selesa berambut pendek dan baju putih panjang dalam wawancara disiarkan di televisyen tempatan.
Pejabat presiden Syria mengumumkan Ogos tahun lalu, wanita pertama berusia 44 tahun itu memulakan rawatan akibat kanser payu dara.
Sejak itu, gambarnya yang kelihatan kurus dan memakai skaf kerap dikongsi dalam akaun media sosial pejabat presiden Syria.
Januari lalu, Asma menjalani pembedahan di sebuah hospital tentera di Damsyik, menurut pejabat berkenaan.
Dalam wawancara itu, beliau menyifatkan dirinya ‘mengalami keletihan fizikal’ dan kesan lain akibat rawatan yang dijalaninya.
Beliau memuji sokongan diterimanya daripada anak-anak, ibu bapa dan ‘rakan sepanjang hayatnya.’
“Sudah pasti beliau (Assad) berada di sisi saya,” katanya.
Wanita pertama itu yang mana bapanya adalah seorang pakar jantung dan ibunya seorang diplomat memiliki dua anak lelaki dan seorang perempuan bersama Assad.
Lahir pada 1975 di Britain, bekas pegawai pelaburan itu menggelar dirinya sebagai penyokong hak progresif dan dilihat sebagai wanita moden di sisi dinasti Assad. – AFP