LUSAKA – Sudah dua tahun sejak Judith Chitala, 22 tahun, melahirkan seorang anak damit lelaki, Nathan di sebuah pusat kesihatan bernama di ibu kota Zambia, Lusaka.
“Saya takut melahirkan anak kerana saya fikir anak damit saya akan dilahirkan sakit,” kata Judith, yang mendapati bahawa dia positif HIV semasa lawatan antenatal pada awal 2018.
Namun, Judith segera menyedari bahawa seseorang masih boleh melahirkan anak HIV-negatif dengan syarat mereka mematuhi garis panduan kesihatan yang bertujuan mencegah penularan virus dari ibu ke anak.
Sekitar 1.4 juta jangkitan HIV di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia dicegah antara tahun 2010 dan 2018 kerana program Pencegahan Penularan Ibu Ke Anak. Jangkitan baharu di kalangan kanak-kanak berumur 0-14 tahun di Zambia menurun dari anggaran 10,000 pada tahun 2010 menjadi 6,000 pada tahun 2019, menurut laporan UNAIDS.
Pencapaian ini dapat dikaitkan dengan usaha projek Sekelela, yang telah memberikan sokongan kepada wanita hamil yang positif HIV di Ng’ombe, salah satu kawasan penempatan miskin di ibu kota Zambia, Lusaka.
Projek Sekelela, melalui inisiatif Orange Baby, telah berusaha untuk mencegah ibu hamil yang positif HIV daripada menyebarkan virus kepada anak damit mereka yang belum lahir dengan memastikan bahawa setelah seorang wanita hamil menguji positif HIV, mereka menghadiri klinik antenatal di kemudahan kesihatan di mana mereka dipantau dan diberi ubat untuk menahan virus sehingga memungkinkan mereka melahirkan anak damit bebas HIV.
“Kami berhasrat untuk menurunkan peratusan penularan HIV dari ibu ke anak di Ngo’mbe ke tahap paling rendah kerana pengurangan jangkitan HIV baru pada anak-anak menyebabkan penurunan kadar jangkitan nasional secara keseluruhan,” kata Bertha Gamela, pengurus program Projek Sekelela.
Gamela selanjutnya mengatakan bahawa projek Sekelela juga menyediakan pelbagai makanan tambahan untuk anak damit yang dilahirkan dari ibu yang positif HIV serta individu lain yang hidup dengan HIV di kawasan tersebut.
Menurutnya, sejak projek ini dimulakan pada tahun 2016, kes penularan HIV dari ibu ke anak telah berkurang dengan ketara di Ng’ombe sebagai hasil program pemekaan dan pendidikan yang dijalankan di bawah inisiatif Orange Baby.
“Lebih banyak wanita hamil yang positif HIV di kawasan ini kini bebas untuk tampil dan mendapat akses ke perawatan dan sokongan kesihatan yang sangat diperlukan,” kata Gamela. – Xinhua

