Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Usuluddin kelmarin telah mengadakan Program Dakwah Melalui Tadabbur Al-Quran dan Al-Hadith di Jabatan-jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam, di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Program tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025 dan Awal Ramadan 1446H dan juga seiring dengan Hari Wanita Antarabangsa.
Sesi khas program dakwah yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan wanita KKSUP itu diisikan dengan sesi tadabbur bertajuk Peringatan Untuk Wanita yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Usuluddin, KUPU SB, Dr Norashibah binti Haji Besar.
Antara inti pati yang dapat diambil daripada sesi tadabbur tersebut ialah mengenai kedudukan wanita yang amat dipandang tinggi dan mulia di sisi agama Islam.
Sebagaimana pengajaran-pengajaran daripada Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW telah meletakkan hak-hak wanita dengan sempurna sehingga wanita digambarkan memiliki kelembutan, keluhuran budi dan sifat kasih sayang yang semula jadi.
Dalam hal ini, para wanita hendaklah menjaga maruah, bersopan santun, berakhlak mulia, mempunyai nilai-nilai yang terpuji di samping sentiasa mengingati Allah SWT, menjaga hati suami, menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.
Tidak syak lagi, golongan wanita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya dalam melahirkan generasi berwawasan yang beriman dan bertakwa.
Objektif program dakwah itu diadakan antara lain memperluaskan sasaran dakwah ke seluruh negara termasuk kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan selain mendedahkan pegawai, kakitangan dan juga masyarakat awam dengan tadabbur Al-Quran dan hadis sebagai rujukan kehidupan seharian.