Tuesday, March 21, 2023
21.6 C
Brunei

-

Wanita rugi RM89,560 terpedaya tawaran kerja menerusi WhatsApp

KUANTAN, 8 FEB – Seorang wanita mendakwa kerugian RM89,560 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp, minggu lepas. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa menerima tawaran itu pada 4 Februari lepas, yang memerlukannya untuk mengikuti dan memberi tanda ‘like’ di akaun Instagram. 

“Mangsa mendakwa ditawarkan komisen RM5 bagi setiap akaun yang diikuti dan telah menerima keuntungan RM590 daripada suspek yang dimasukkan ke akaun peribadinya. 

“Jumlah itu menyebabkan mangsa semakin tertarik sehingga dia mengeluarkan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga bagi mendapatkan lebih banyak tugasan,” katanya. 

Ramli berkata secara keseluruhan, mangsa telah membuat 10 transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun diberikan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu kerana tidak lagi menerima pautan untuk meneruskan ‘kerja’ itu. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam. 

Ramli menasihatkan orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja menerusi media sosial dan membuat semakan terhadap latar belakang syarikat atau pihak yang menawarkan kerja itu supaya tidak menjadi mangsa penipuan. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Kishida umum rancangan Indo-Pasifik baharu di India

NEW DELHI, 20 MAC - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida hari ini menjemput rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi untuk menghadiri sidang kemuncak negara-negara...
- Advertisment -