Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita sempat selamatkan cucu sebelum maut dilanggar motosikal

    KOTA KINABALU, 18 APRIL – Seorang wanita pejalan kaki berusia 56 tahun sempat bertindak menyelamatkan cucunya berusia sembilan tahun dengan menolak kanak-kanak itu, sebelum maut selepas dilanggar motosikal dalam kejadian di sini pada pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhampiran Kampung Rampayan tersebut turut meragut nyawa penunggang motosikal itu seorang lelaki berusia 46 tahun.

    Beliau berkata, dalam kejadian tersebut, cucu wanita itu dan pembonceng motosikal wanita berusia 47 tahun, terselamat serta hanya mengalami cedera ringan.

    “Siasatan awal kejadian, mendapati penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Indah Permai menuju ke 1Borneo untuk menghantar pembonceng ke tempat kerja. Apabila sampai di lokasi kejadian, pejalan kaki itu bersama cucunya tiba-tiba melintas, menyebabkan penunggang motosikal tidak dapat mengelak.

    “Sebelum pelanggaran berlaku, pejalan kaki itu sempat menolak cucunya untuk mengelak daripada dilanggar. Kesan perlanggaran tersebut menyebabkan motosikal itu terbabas ke bahu jalan. Pejalan kaki dan penunggang itu cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

    Kemalangan yang berlaku di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampung Rampayan, Kota Kinabalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda