Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Sibu terpedaya dengan love scam

    SIBU, 14 DIS – Seorang wanita berusia 44 tahun mengalami kerugian sebanyak RM152,050 selepas terpedaya dengan cinta maya (love scam) seorang individu dikenalinya menerusi Facebook sejak awal September lepas.

    Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek menghubungi wanita terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp pada 8 Oktober lepas, memaklumkan dia telah ditahan pihak Imigresen kerana membawa mata wang Britain dalam kuantiti yang banyak.

    “Atas dasar percaya dan kasihan, mangsa telah membuat 27 transaksi pindahan wang dari 10 Oktober hingga 5 Disember ke dua akaun berbeza yang diberikan suspek bagi tujuan bayaran untuk menolong kekasihnya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkipli berkata mangsa yang menyedari telah ditipu selepas meragui bayaran tersebut kemudiannya menghubungi rakannya sebelum membuat laporan polis pada 8 malam, semalam.

    Sementara itu, Zulkipli menasihati orang awam agar berhati-hati dengan sindiket penipuan love scam serta mengingatkan mereka agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu daripada seseorang yang hanya dikenali di laman sosial. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda