Seorang wanita tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Shila Amzah atas fitnah yang mendakwa penyanyi itu terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga.
Wanita yang dikenali sebagai Wana itu telah pun mengakui kesilapannya dan menyesali tindakannya itu memberi kesan negatif buat pasangan suami isteri berkenaan.
“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Ubai dan Shila atas komen dan tindakan saya yang telah menyinggung perasaan mereka berdua. Saya amat kesal dan sedar bahawa perbuatan saya walaupun tidak berniat buruk telah memberi kesan yang tidak baik buat mereka.
“Saya tidak bermaksud untuk mengaibkan atau menyakiti Ubai atau Shila. Sebagai manusia biasa saya akui saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.
Wana berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di TikTok miliknya, menurut laporan mStar.
Dalam perkongsian video dibuat, Wana berharap Shila dan Ubai dapat memaafkan kesilapan dilakukan dan berjanji mengambil pengajaran atas apa yang berlaku.
“Saya berdoa agar Ubai dan Shila dapat menerima permohonaan maaf saya ini dengan hati terbuka. Saya ambil perkara ini sebagai pengajaran besar dan akan lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian atas tindakan saya selepas ini.
“Sekali lagi saya memohon maaf, semoga Allah melembutkan hati kita semua dan memberi ruang untuk saling bermaafan. Saya ingin ucapkan terima kasih kerana mahu mendengar permohonan maaf daripada saya,” ujarnya.
Sebelum ini, Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 27, meminta bantuan warganet mencari individu yang didakwa menabur fitnah terhadap isterinya itu.
Individu terbabit didakwa mempersoalkan tanggungjawab Ubai sebagai suami kerana menganggap keluarga mereka ditanggung sepenuhnya oleh Shila. – Agensi
