Jumaat, 21 November 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Tehran berani cabar norma jalanan

    TEHRAN – Ketika Merat Behnam akhirnya mengumpul keberanian untuk menunggang skuter kuningnya meredah kesesakan jalan raya ibu negara Iran menuju ke kafe yang diusahakannya, kebimbangannya bukanlah pada lalu lintas yang padat.

    Sebaliknya, dia mempersiapkan diri untuk berdepan pandangan sinis, cercaan, malah kemungkinan ditahan oleh polis kerana menjadi wanita yang menunggang motosikal di Tehran, sesuatu yang lama dipandang serong oleh golongan konservatif dan ulama berhaluan tegas di Iran.

    Namun, Behnam, 38, mendapati dirinya diterima secara meluas di jalan raya dan kini menjadi sebahagian daripada perubahan cara berfikir dalam kalangan wanita terhadap norma sosial di negara itu.

    Perubahan ini bukanlah menyeluruh, terutamanya ketika ahli politik berhaluan tegas mendesak penguatkuasaan undang-undang hijab atau tudung kepala, sementara Iran memperhebat tindakan terhadap golongan intelektual selepas peperangan selama 12 hari dengan Israel pada bulan Jun lalu, namun ia tetap mencerminkan satu perubahan sosial yang ketara.

    “Ia satu perkara besar bagi saya,” kata Behnam kepada Associated Press selepas menunggang skuter ke kafenya baru-baru ini. “Pada mulanya saya agak gementar, tetapi lama-kelamaan cara orang ramai melayan saya dan reaksi mereka benar-benar memberi saya semangat.”

    Merat Behnam meletakkan motosikalnya di luar kafenya di pusat bandar Tehran, Iran, pada 1 November lalu. – AP
    Gambar AP
    Seorang wanita menunggang motosikalnya di utara Tehran, Iran, pada 1 November. – AP
    Seorang wanita menunggang motosikalnya di pusat bandar Tehran, Iran, pada 8 November. – AP

    ‘TERBUKA KEPADA ANGIN’

    Dua faktor utama sebelum ini menghalang wanita daripada menunggang motosikal atau skuter. Pertama, peraturan polis dalam bahasa Farsi secara khusus hanya membenarkan mardan atau lelaki untuk mendapatkan lesen motosikal, satu istilah jantina yang jelas, walaupun bahasa Farsi secara amnya bersifat neutral dari segi tatabahasa.

    “Isu ini bukan sekadar pelanggaran tetapi satu kesalahan dan rakan-rakan saya akan mengambil tindakan terhadap individu terlibat kerana tiada seorang pun daripada wanita ini memiliki lesen memandu motosikal dan kami tidak boleh bertindak bertentangan dengan undang-undang,” kata Ketua Polis Trafik Tehran, Jeneral Abulfazl Mousavipoor, dalam laporan agensi separa rasmi ISNA pada bulan September.

    Selain itu, terdapat aspek budaya yang lebih mendalam. Walaupun wanita kini dibenarkan bekerja, memegang jawatan politik dan memiliki lesen kereta, selepas Revolusi Islam 1979, negara itu menegakkan tafsiran konservatif terhadap ajaran Islam Syiah mengenai kelakuan wanita.

    Ini termasuk undang-undang wajib memakai hijab yang mencetuskan protes besar-besaran pada tahun 2022 selepas kematian Mahsa Amini, yang didakwa ditahan kerana tidak memakai tudung mengikut kehendak pihak berkuasa.

    Bagi sesetengah ulama dan golongan berhaluan tegas, wanita yang menunggang motosikal dianggap melakukan tabarruj atau menunjukkan kecantikan secara berlebihan, yang dilarang oleh Islam.

    “Menjaga aurat wanita ketika menunggang motosikal adalah sangat penting,” kata ahli parlimen konservatif, Mohammad Seraj kepada agensi berita separa rasmi ILNA pada bulan September.

    “Wanita yang menunggang motosikal tidak dapat mengekalkan kesopanan berpakaian sebagaimana yang diharapkan kerana kedua-dua tangannya digunakan untuk mengemudi dan dia terdedah kepada angin.”

    ELAK CAJ KESESAKAN

    Bagi ramai penduduk, larangan terhadap wanita menunggang motosikal bertembung dengan realiti jalan raya Tehran yang sesak, dianggarkan lebih 4 juta kereta dan 4 juta motosikal beroperasi setiap hari.

    Selama beberapa dekad, wanita berpakaian chador hitam menyeluruh sering dilihat duduk sisi di atas motosikal yang ditunggang oleh lelaki.

    Namun selepas ramai wanita mula meninggalkan hijab, semakin ramai yang berani menunggang sendiri motosikal di Tehran, sekali gus mengelak daripada membayar caj kesesakan yang dikenakan terhadap kereta, iaitu lebih 20 juta rial (AS$20) sebulan.

    Walaupun jumlahnya masih kecil berbanding keseluruhan lalu lintas, kehadiran mereka kini semakin ketara.

    “Tiada sebarang agenda politik atau sosial di sini,” kata Behnam. “Cuma tempat kerja saya di pusat bandar dan saya perlu berulang-alik setiap hari dari kawasan Sattarkhan di barat Tehran. Lalu lintas yang sesak, masalah parkir dan sekatan zon trafik benar-benar menyusahkan saya.”

    ‘SIMBOL KEBEBASAN DAN PILIHAN’

    Namun bagi sesetengah pihak, isu ini turut membawa makna politik. Terdapat spekulasi bahawa pentadbiran Presiden reformis Masoud Pezeshkian, yang berkempen atas dasar keterbukaan kepada Barat sebelum peperangan, mungkin akan mempertimbangkan perubahan peraturan bagi membolehkan wanita mendapatkan lesen motosikal.

    Golongan reformis, yang mahu melakukan pembaharuan dalam sistem teokrasi Iran dari dalam, juga menyokong usaha tersebut.

    “Sudah tiba masanya untuk kita melangkaui tembok halangan budaya dan birokrasi yang tidak kelihatan,” tulis akhbar Shargh pada bulan September.

    “Bagi wanita, menunggang motosikal bukan sekadar cara untuk berulang-alik, tetapi simbol pilihan, kebebasan dan kehadiran setara dalam masyarakat.”

    Behnam turut berkongsi pengalaman positifnya dengan pihak berkuasa jalan raya.

    “Buat pertama kali, seorang pegawai polis yang mengawal trafik membuat saya berasa disokong dan lebih selamat. Saya dapat rasakan ada bentuk sokongan daripada mereka,” katanya.

    “Malah apabila mereka memberi amaran, ia lebih kepada hal teknikal seperti tempat letak kenderaan atau peraturan keselamatan seperti memakai topi keledar.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda