Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita tembak guna pistol air didakwa serang cara fizikal

    ONTARIO, 24 SEPT – Seorang wanita berusia 58 tahun menghadapi pertuduhan menyerang menggunakan senjata selepas menembak jirannya dengan pistol air secara tidak sengaja ketika bermain dengan seorang kanak-kanak.

    Menurut laporan Oddity Central, pada 1 September, Wendy Washik, seorang pembantu guru dari Simcoe, Ontario, sedang bermain dengan kanak-kanak semasa acara barbeku di belakang rumahnya apabila dia secara tidak sengaja menembak dengan pistol air ke bahagian dada jirannya yang sedang memotong rumput.

    Dia mendakwa bahawa dia terus meminta maaf serta-merta, tetapi lelaki itu terus menengking kepadanya dan pada satu ketika masuk ke rumahnya untuk menghubungi polis.

    Pegawai Polis Wilayah Ontario yang menjawab panggilan itu menerima aduan bahawa terdapat dua orang terlibat dalam ‘perselisihan’ yang mengakibatkan seorang mangsa diserang secara fizikal.

    Washik memberitahu pemberita bahawa polis tidak meminta untuk melihat pistol air itu sebelum mendakwanya.

    “Mereka langsung tidak bertanya kepada saya satu soalan pun,” kata wanita berusia 58 tahun itu mengenai polis. “Mereka tidak meminta untuk melihat pistol air itu. Tiada satu soalan pun ditanya. Suami saya turut tidak percaya akan tindakan mereka.”

    Apabila wartawan tempatan meminta komen polis untuk mengesahkan bahawa senjata yang digunakan itu ialah pistol air, jurucakap Polis Wilayah Ontario berkata bahawa adalah ‘tidak sesuai’ untuk mengulas secara spesifik mengenai kes itu.

    Bagaimanapun, Washik menegaskan bahawa dia bermain dengan pistol air kanak-kanak yang mana saiznya tidak lebih daripada panjang lengannya.

    Insiden itu telah memberi kesan buruk kepada Wendy Washik dan keluarganya. Disebabkan pekerjaannya sebagai pembantu guru di Lembaga Sekolah Daerah Katolik Brant Haldimand Norfolk, dia tidak boleh kembali bekerja sehingga kes itu diselesaikan. Walaupun dia memahami peraturan tersebut, namun dia tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.

    “Setiap hari masih berdepan kesusahan, sukar untuk tidak memikirkannya selalu,” kata Wendy Washik kepada CTV News. “Sukar untuk meneruskan hidup kerana peristiwa ini sukar untuk dilupakan. Saya masih bimbang tentang keputusan semua ini.”

    Keluarga Washik telah berusaha untuk mengutip dana untuk yuran guamannya kerana dia dikehendaki hadir di mahkamah hari ini, 24 September. Tetapi usahanya  sukar kerana pertuduhan bersifat jenayah yang dihadapinya. Contohnya, laman web GoFundMe yang telah berjaya mengumpulkan lebih daripada AS$12,000 telah dibatalkan kerana tuduhan ke atasnya ‘secara teknikal adalah tuduhan jenayah’, dan platform itu tidak membenarkan pengumpulan dana untuk tujuan sedemikian.

    Keluarga Washik masih mencuba pelbagai alternatif kerana mereka tidak tahu berapa lama perbicaraan begini akan selesai. – Agensi

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda