Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Seorang wanita warganegara tempatan berusia 51 tahun telah berjaya diberkas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini hari ini, tangkapan tersebut dibuat semasa serbuan mengejut yang dikendalikan oleh pegawai dan keanggotaan dari Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB, kira-kira 12:21 tengah hari di salah sebuah bilik penginapan di kawasan Gadong, Daerah Brunei dan Muara.
Kenyataan turut menyatakan bahawa serbuan itu melibatkan aktiviti yang tidak bermoral iaitu dipercayai menjalankan kegiatan menawarkan khidmat seks.
Susulan daripada pemeriksaan pihak polis ke bilik berkenaan, wanita tersebut telah ditahan berserta beberapa bahan bukti seperti wang tunai dan telefon bimbit.
Suspek yang ditahan segera dibawa menjalani ujian saringan COVID-19 dan seterusnya menjalani siasatan di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 atas kesalahan menawarkan khidmat seks.
PPDB dalam kenyataan itu menyatakan lagi bahawa pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan risikan serta akan mengambil tindakan pada setiap kegiatan-
kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini.
