Wanita tempatan maut dirempuh kereta

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Seorang wanita tempatan berusia 20 tahun, maut setelah dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian yang berlaku di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) menghala ke Temburong sekitar 9 pagi hari ini.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), mendapati mangsa merupakan salah seorang pekerja yang ditugaskan menyusun kon-kon keselamatan sebelum memulakan tugas di jambatan berkenaan.

Mangsa kemudian diselamatkan dan dibawa keluar dari sungai lalu dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Sehubungan dengan kejadian tersebut, PPDB melalui Balai Polis Bandar Seri Begawan sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya.

Selain itu, PPDB turut mengingatkan orang ramai supaya jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan dalam keadaan dipengaruhi dengan bahan ubat-ubatan atau alkohol atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa diri sendiri atau orang lain.

Kawasan kemalangan yang berlaku di Jambatan SHOAS mengakibatkan seorang wanita tempatan maut semasa kejadian tersebut.
Gambar menunjukkan lokasi kemalangan yang membawa maut di Jambatan SHOAS, kelmarin.