Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita tempatan miliki barang tegahan didenda hampir $40,000

    Oleh Daniel Lim –

    TUTONG, 29 OKT – Seorang wanita tempatan berusia 32 tahun, Nur Ain binti Mohd Halid telah didenda sebanyak $39,720 oleh Mahkamah Majistret Tutong, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Perintah Eksais 2006.

    Kes tersebut telah didengarkan di hadapan Majistret Hajah Normazdina binti Haji Mohd Maskub di mana tertuduh didakwa selepas satu serbuan dijalankan oleh pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Kuala Belait di sebuah rumah di kawasan RPN Bukit Beruang, Tutong pada 21 Jun 2023 jam 9:54 pagi.

    Semasa operasi tersebut, pegawai penguat kuasa telah merampas beberapa barangan seludup termasuk 343 unit pelbagai produk vape, 16 batang rokok, 50 gram tembakau, sebotol minuman keras, serta wang tunai berjumlah $200.

    Hasil siasatan membawa kepada dua pertuduhan di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006, masing-masing melibatkan kesalahan memiliki 343 unit pelbagai jenis vape, 16 batang rokok dan 50 gram tembakau serta kesalahan memiliki satu botol minuman keras.

    Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan denda $34,720 atau 14 bulan penjara jika gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan denda $5,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar.

    Secara keseluruhan, tertuduh berdepan denda berjumlah $39,720 atau 19 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

    Semua barangan yang dirampas termasuk produk vape, rokok, tembakau, minuman keras dan wang tunai telah diperintahkan untuk dilucuthakkan kepada kerajaan bagi tindakan selanjutnya.

    JKED turut mengingatkan orang awam bahawa memiliki, menjual atau mengedarkan barangan eksais tanpa lesen adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang negara ini.

    Gambar Freepik

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda