Thursday, December 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita terima pemindahan ginjal khinzir

    HOUSTON, 18 DIS – Pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) telah berjaya menjalankan pemindahan ginjal khinzir gen kelima yang diubah untuk seorang wanita Alabama yang kini bebas daripada dialisis dan berada dalam keadaan kesihatan yang lebih baik, menurut kenyataan dari New York University (NYU) Langone Health, kelmarin.

    Pembedahan itu menandakan satu lagi kejayaan besar yang dilihat sebagai penyelesaian kepada krisis bekalan organ, kata NYU Langone Health dalam satu kenyataan akhbar.

    Towana Looney, 53, pernah menderma buah pinggang kepada ibunya pada tahun 1999 dan mengalami kegagalan buah pinggang beberapa tahun kemudian selepas menghadapi komplikasi kehamilan.

    Beliau menjalani prosedur pembedahan selama tujuh jam pada 25 November lalu selepas lapan tahun menjalani rawatan dialisis.

    “Ia satu rahmat,” kata Looney. “Saya rasa seperti diberi peluang kedua dalam hidup. Saya tidak sabar untuk melancong lagi dan meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga dan cucu-cucu saya.”

    Para doktor menjangka beliau akan pulang ke rumah dalam tempoh tiga bulan. Jika ginjal khinzir tersebut gagal, beliau boleh memulakan semula dialisisnya.

    Prosedur Looney itu merupakan kali ketiga ginjal dari khinzir yang diubah dan dipindahkan ke dalam tubuh manusia yang masih hidup, menurut kenyataan akhbar tersebut.

    Beliau adalah individu pertama yang menerima ginjal daripada khinzir yang melalui 10 perubahan gen dan kini merupakan satu-satunya orang di dunia yang hidup dengan organ khinzir, kata kenyataan tersebut. – Xinhua

    Looney yang menerima ginjal khinzir sedang menjalani ujian perubatan di NYU Langone Health pada 11 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda