Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Seorang wanita tempatan berusia 52 tahun, Lim Yok Yuan telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan membabitkan 11 orang mangsa dari tahun 2024 hingga 2025.
Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan menghubungi kenalan melalui aplikasi WhatsApp dan memperdaya mereka untuk melabur dalam pelbagai skim perniagaan palsu.
Antara yang ditawarkan termasuk pelaburan dalam restoran, pengimportan barang dari China serta menyamar sebagai ejen pengambilan pekerja domestik.
Mangsa telah diminta membuat bayaran melalui pindahan bank atau serahan tunai bagi menyertai pelaburan tersebut.
Namun, siasatan mengesahkan bahawa kesemua urusan perniagaan yang ditawarkan tidak pernah wujud.
Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22, atas kesalahan menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.
Jumlah kerugian yang dilaporkan daripada semua kes yang sedang disiasat dianggarkan mencecah $133,000.
PPDB melalui BSJS kini meneruskan siasatan lanjut dan dalam masa yang sama menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk penipuan. Orang ramai diingatkan untuk tidak menyerahkan wang atau membuat sebarang transaksi kepada individu yang meragukan atau tidak dikenali.
PPDB menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah penipuan serta menyeru masyarakat untuk terus berkongsi kesedaran ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan supaya dapat mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.