Wanita terpaksa berpantang panjat tingkap

KUALA BERANG, 2 DIS – Seorang wanita yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak, terpaksa memanjat tingkap rumah untuk keluar menyelamatkan diri, selepas rumah ibunya di sini, ditenggelami banjir.

Zaiton Mohd Ghazali, 34, memanjat tingkap itu bersama tiga anaknya termasuk anak kecilnya berusia tiga minggu, serta ibunya sebelum menaiki perahu untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kepah.

Wanita itu berkata ibunya terpaksa mendayung sendiri perahu itu, sejauh satu kilometer untuk ke PPS berkenaan.

Zaiton memberitahu walaupun masih sakit kerana bersalin secara pembedahan tiga minggu lepas, dia terpaksa menggagahkan diri mendukung anak, dan membawa bersama dua lagi anak yang masih kecil untuk menyelamatkan diri. – Bernama