GENEVA, 26 JUN – Penipu yang menyamar sebagai pegawai polis mencuri 3.3 juta euro daripada seorang wanita Swiss menerusi satu komplot palsu yang membabitkan bank mangsa, lapor media Swiss hari ini.
Seorang suspek wanita mula-mula menghubungi mangsa di Zurich pada November, menyamar sebagai seorang pegawai yang mendakwa sedang menyiasat satu rangkaian pencuri, menurut agensi berita ATS.
Wanita itu diberitahu bahawa pekerja di banknya sedang merancang untuk merompaknya.
Suspek meminta wanita berkenaan supaya merahsiakan butir-butir siasatan mereka.
Mereka seterusnya mengarahkannya memindah asetnya kepada satu akaun baharu menerusi beberapa siri bayaran, demi melindungi simpanannya daripada dicuri oleh banknya sendiri.
Satu siasatan dalam komplot tersebut, yang menyebabkan wanita berkenaan kehilangan 3.6 juta francs, sedang diteruskan, kata ATS. – AFP