SYDNEY, 17 JAN – Seorang wanita Australia meminta mahkamah membatalkan perkahwinannya setelah mendakwa ditipu oleh suaminya, yang mengatur ‘majlis perkahwinan palsu’ untuk meningkatkan pengikut Instagramnya.
Menurut Oddity Central, wanita itu, yang identitinya dirahsiakan oleh mahkamah, memberitahu bahawa dia bertemu dengan suaminya melalui aplikasi temu janji pada September 2023. Mereka berjumpa secara kerap di Melbourne dan pada Disember tahun yang sama, lelaki itu mengajaknya menghadiri ‘pesta putih’ di Sydney.
Menurut wanita itu, dia diminta memakai gaun putih bersesuaian dengan tema majlis tersebut. Namun, setibanya di lokasi, dia ‘terkejut’ dan ‘berang’ apabila mendapati hanya mereka berdua, seorang jurugambar, rakan jurugambar dan seorang pegawai perkahwinan.
“Dia beritahu saya bahawa ini hanyalah lakonan untuk meningkatkan kandungan Instagramnya supaya boleh mula menjana pendapatan,” katanya di Mahkamah Keluarga.
Wanita itu menghubungi rakannya untuk memastikan tiada risiko sah jika dia bersetuju melakonkan watak pengantin dan selepas diyakinkan dia bersetuju untuk meneruskan lakonan tanpa menandatangani sebarang dokumen.
Dalam video yang ditayangkan di mahkamah, wanita itu kelihatan melakonkan watak pengantin dengan penuh semangat, termasuk bertukar ikrar di hadapan kamera. Dia menegaskan bahawa dia melakukannya supaya video itu kelihatan benar, tanpa menyedari bahawa perkahwinan tersebut adalah sah.
Selepas dua bulan, lelaki tersebut meminta wanita itu menambah namanya sebagai tanggungan dalam permohonan penduduk tetap Australia. Namun wanita itu menolak.
Mahkamah Keluarga di Melbourne memutuskan untuk membatalkan perkahwinan tersebut pada Oktober tahun lalu, setelah mendapati wanita itu bertindak tanpa mengetahui bahawa perkahwinan itu sah. – Agensi