MADRID, 8 SEPT – Seorang wanita berusia 19 tahun berusaha mendapatkan pampasan bernilai berjuta euro selepas didapati dia secara tidak sengaja ditukar dengan seorang lagi anak damit di sebuah hospital Sepanyol hampir dua dekad lalu.
Anak damit berkenaan tertukar pada 2002 selepas mereka lahir selang lima jam dan diletakkan dalam inkubator di hospital San Milan de Logrono di utara Sepanyol, disebabkan ‘kesilapan manusia,’ kata pihak berkuasa kesihatan serantau.
Kesilapan terbongkar empat tahun lalu selepas salah seorang budak perempuan yang ditukar menjalani ujian DNA
sebagai sebahagian daripada penyelesaian perbalahan berhubung bayaran bantuan anak.
Wanita itu, kini berusia 19 tahun, menuntut bayaran pampasan berjumlah tiga juta euro daripada pihak berkuasa kesihatan kerana diberikan kepada keluarga yang salah, beritahu peguamnya Jose Saez-Morga kepada AFP.
“Kami bercakap mengenai kesan besar, yang akan menghantui sepanjang hayatnya dan tidak mungkin dipulihkan,” katanya.
Pihak berkuasa kesihatan di rantau Rioja setakat ini hanya menawarkan wanita itu, yang memilih tidak menggunakan namanya, bayaran pampasan berjumlah 215,000 euro, tambahnya. – AFP