KANGAR, 30 OGOS – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menahan seorang wanita warga Thailand dan merampas dadah jenis heroin seberat 5.252 kilogram (kg) bernilai RM492,375 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Rabu lepas.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata wanita berusia 30 tahun itu ditahan di bilik mesin pengimbas bagasi Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) kompleks itu pada jam 6.40 petang apabila sebuah bagasi yang dibawanya didapati mengandungi barang larangan disyaki dadah.
“Pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut telah menemukan dua beg tangan dan dua beg galas masing-masing mengandungi peket berwarna coklat yang disembunyikan dalam ruangan khas beg tersebut. Pemeriksaan rapi ke atas peket tersebut mendapati kesemuanya mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis heroin,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri hari ini.
Ismail berkata wanita itu memberikan alasan mahu pergi ke Kuala Lumpur untuk sambutan hari lahir kawannya di sana dengan merancang menaiki teksi dari Padang Besar ke Stesen Bas di Kangar. Beliau berkata bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari Bangkok, Thailand itu dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat rangkaian dadah berkenaan di ibu negara. – Bernama