GIFU, JEPUN – Hujung jari yang hilang menawarkan petunjuk kepada masa lampau penjenayah Mako Nishimura sebagai salah seorang daripada beberapa wanita yakuza Jepun. Namun selepas berjaya mencari jalan keluar dari dunia penjenayahan, dia kini menghabiskan hari-harinya membantu samseng lain yang telah bersara untuk diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
Rangkaian jenayah terancang yakuza bernilai berbilion dolar telah lama menguasai sindiket dadah, sarang perjudian haram dan perdagangan seks di Jepun.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, empayar itu telah mula runtuh kerana ahli telah berkurangan dan undang-undang anti-mafia diperketatkan.
Tindakan keras polis yang semakin giat dilaksanakan telah mengurangkan anggota yakuza di seluruh negara, dengan jumlah mereka berkurangan di bawah 20,000 ahli pada tahun lepas buat kali pertama sejak rekod bermula pada 1958.
Dicacah dengan tatu naga dan harimau, Nishimura yang berusia 58 tahun mengemudi hierarki patriarki yakuza, di mana kekerasan dan kepimpinan autoritarian menguasai kumpulan secara berterusan selama tiga dekad.





Gengster saingan ‘memandang rendah saya hanya kerana saya seorang wanita, yang saya benci,” beritahunya kepada AFP di pangsapurinya yang sempit di wilayah Gifu tengah Jepun.
“Saya mahu diiktiraf sebagai yakuza,” katanya. “Jadi saya belajar bercakap, melihat dan melawan seperti seorang lelaki.”
Nishimura berkata dia secara rasmi diiktiraf oleh pihak berkuasa sebagai yakuza wanita pertama selepas dia dipenjarakan kerana memiliki dadah pada usia 22 tahun.
Sementara tiada data polis rasmi mengesahkannya, pakar mengatakan ahli wanita amat jarang menyertai yakuza.
Pesara detektif anti-rusuhan, Yuichi Sakurai berkata dia tidak pernah melihat seorang yakuza wanita dalam kerjayanya selama 40 tahun tetapi ‘kemungkinan beberapa orang dimasukkan’ dalam jumlah tahunan yang dijejaki polis, yang tidak memberikan pecahan jantina.
Nishimura, berbadan kurus dengan rambut berwarna perang, akhirnya meninggalkan sindiket itu di belakangnya kira-kira lima tahun lalu.
Dia kini mencari nafkah di tapak perobohan, salah satu daripada beberapa pekerjaan yang menerima tatu yang menghiasi lengannya.
Dia juga menyokong pesara mafia lain, berasa amat bangga mengetuai cawangan Gifu Gojinkai, sebuah organisasi bukan keuntungan yang berdedikasi untuk membantu bekas penjenayah.
Yuji Moriyama adalah antara golongan lelaki pertengahan umur yang lasak, seseorang yang mempunyai parut pisau yang besar di perutnya, yang dibawa keluar oleh
Nishimura untuk aktiviti mengutip sampah setiap bulan.
“Dia seperti seorang kakak. Dia memarahi kami apabila kami layak menerimanya,” kata Moriyama, 55, sambil mengimbas kembali masa dia melangkau kutipan sampah dan dia memaksanya melutut di atas tanah untuk meminta maaf.
“Dia menakutkan saya,” katanya sambil ketawa.
Bagi Nishimura, ‘idea saya melakukan sesuatu yang baik untuk orang lain memberikan saya keyakinan,’ katanya.
“Saya secara perlahan-lahan kembali menjadi manusia biasa.”
‘RAJA PENJAHAT’
Nishimura dibesarkan dalam keluarga yang tegas, dengan seorang bapa penjawat awam yang memberikan tekanan dari segi akademik.
Semasa remaja, dia melarikan diri dari rumah dan terlibat dalam jenayah, menyertai kumpulan yakuza besar pada usia 20 tahun.
Pergaduhan, peras ugut dan penjualan dadah tidak lama lagi menjadi rutin. Dia juga memotong hujung jarinya sendiri sebagai sebahagian daripada hukuman diri ritual yakuza atas kesilapan yang dilakukan.
Namun pada usia lewat 20an, Nishimura melarikan diri daripada sindiket itu dan ‘disingkirkan,’ meninggalkan kegiatan gengster di belakangnya untuk berkahwin dan membesarkan anaknya.
“Buat pertama kali, saya merasakan naluri keibuan. Anak lelaki saya sangat comel, saya fikir saya boleh mati untuknya,” katanya.
Ibu baharu yang nekad itu menceburi dan mempelajari industri penjagaan dan perubatan, hanya dipecat kerana tatunya.
Tidak pasti ke mana lagi hendak mendapatkan bantuan, dia kembali menjual dadah perangsang.
Pada usia lewat 40an, dia menyertai semula pertubuhan yakuza lamanya tetapi mendapati ia daif dan kehilangan ‘maruah.’
Yakuza telah berkembang maju pada zaman pasca perang yang gemilang di Jepun, apabila ia kadang-kadang dilihat sebagai kejahatan yang perlu untuk membawa ketenteraman di jalanan.
Ia masih wujud di kawasan yang tidak mempunyai kedaulatan undang-undang, tetapi undang-undang anti-mafia yang lebih ketat menyebabkan tidak ramai orang yang bersedia untuk menjalankan perniagaan dengan kumpulan perusuh itu.
“Yakuza pernah menjadi raja penjahat,” katanya, tetapi melihat bos lamanya bertungkus-lumus mencari wang bersama-sama mengecewakannya sehingga dia meninggalkan dunia penjenayah sejurus selepas hari jadinya yang ke-50.
Hari ini, Nishimura telah menemui mentor baharu, pengerusi Gojinkai dan bekas samseng terkenal Satoru Takegaki, dengan hasil daripada autobiografinya yang diterbitkan baru-baru ini membantunya memenuhi keperluan hidup.
“Saya rasa yakuza akan terus berkurangan dan hilang pengaruh,” katanya.
“Saya harap mereka akan pupus.” – AFP

