Terpaksa hidup berjauhan dengan suami tercinta, penyanyi Wany Hasrita memilih untuk sentiasa berlapang dada dan berserah jika ditakdirkan terjadinya sesuatu isu dalam rumah tangganya.
Memetik kenyataan mStar, bagi Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 31, setiap manusia dikurniakan akal kiran dan mereka haruslah tahu membezakan baik dan buruk sesuatu perkara termasuklah mengenai hal perhubungan.
“Saya mengamalkan konsep jagalah macam mana sekalipun kalau suami nak buat dia buat juga (curang).
“Kalau nak jadi ia akan terjadi juga. Bukan lelaki sahaja malah pihak isteri pun sama.
“Kita dah besar punyai akal kiran boleh tahu mana baik mana buruk,” katanya kepada mStar.
Wany berkongsi perkara itu semasa ditemui di pelancaran memperkenalkan duta makanan mee segera Nongshim di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Wany berkata dia sentiasa berpegang prinsip bahawa semua yang diberikan oleh Allah ituhanyalah pinjaman semata-mata.
Dia bagaimanapun sentiasa berdoa agar ikatan perkahwinannya terpelihara dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. – Agensi
