Selepas berteka-teki mengenai kehamilan, penyanyi lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita mengesahkan dirinya berbadan dua dengan kandungan mencecah enam bulan.
Dijangka bersalin Julai depan, Wany, 30, berkata, dia belum memutuskan akan menjalani proses bersalin dan tempoh berpantang di ibu negara atau Kuching, Sarawak, di mana suaminya bertugas.
“Benar, saya hamil. Alhamdulillah, sepanjang mengandung, saya tidak mengalami alahan teruk.
“Disebabkan saya dan suami berjauhan, memang ada masanya sedikit emosional apabila terpaksa menjalani pemeriksaan sendirian dengan ditemani ibu.
“Setakat ini, di mana saya akan bersalin dan berpantang masih belum diputuskan,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, timbul spekulasi, Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah hamil selepas muncul pada persembahan pembukaan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, Februari lalu, apabila tanda baby bump terlihat pada perut, biarpun mengenakan baju besar.
Namun, ketika itu, Wany enggan mengumumkan kehamilan selagi anak damit belum dilahirkan.
Bagaimanapun, Wany tidak lagi menyembunyikan kehamilan apabila secara terbuka berkongsi dengan dua hos gandingan, iaitu Khir Rahman dan Amin Idris, pada siaran langsung program Borak Dulu Baru Buka di TV Okey, baru-baru ini.
Pada sesi itu, Wany mengaku perlu makan untuk dua orang sekali gus menandakan dirinya berbadan dua.
Malah, di ruangan Instagram (IG) Story, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan itu dilihat berkongsi keterujaan memilih pakaian hamil.
Wany dan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 31, yang bertugas sebagai juruterbang di Kuching, mula rapat selepas diperkenalkan rakan baik Wany pada 2019.
Mereka bertunang pada 26 Februari tahun lalu, sebelum bernikah, Julai lalu. – Agensi