Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wany Hasrita kerap tukar pengasuh, cerewet demi anak

    Setelah kejadian anak perempuannya dihayun kuat ketika digendong membuatkan penyanyi Wany Hasrita lebih berhati-hati dalam mencari pengasuh.

    Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, berkata, tindakan itu mungkin tidak serius namun dia bertanggungjawab dalam melindungi anaknya daripada kejadian tidak diingini.

    “Mungkin ada anggap itu perkara biasa tapi saya pula lihat pengasuh burn out. Jadi saya rasa kalau dia tidak boleh bekerja, tak perlulah bekerja dan dia boleh berehat,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Wany mengakui disebabkan kejadian itu dia kerap bertukar-tukar pengasuh sehingga bertemu seseorang yang serasi menjaga anak perempuannya.

    Kata Wany, dia tidak akan bertolak ansur perkara membabitkan anaknya selain tidak mahu memaksa pengasuh bekerja jika tak mampu mengikut kehendaknya.

    “Ada beberapa perkara saya tak boleh bertolak ansur seperti kalau mereka mempunyai penyakit kulit atau beri alasan tak boleh basuh baju. Macam mana?

    “Saya pun tak mahu orang bekerja dalam keadaan terpaksa. Saya memahami dia manusia dan tak boleh senang-senang mengerah tenaganya,” jelasnya.

    Bagaimanapun kata Wany, dia lega apabila sudah bertemu dengan pengasuh yang serasi dengan anak perempuannya.

    Apatah lagi, tugas menjaga anaknya iaitu Aishah Al Iman turut dipantau oleh ibunya yang menetap bersamanya.

    “Alhamdulillah sekarang ini memang sudah ada pengasuh tetap yang Aishah selesa. Saya bersyukur dan boleh bekerja dengan tenang sepanjang dua bulan ini,” kongsinya. – Agensi

    Wany sentiasa berhati-hati ketika memilih pengasuh buat anaknya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda