KUALA LUMPUR – Penat lelah penyanyi, Wany Hasrita, bergelut antara karier nyanyian dan pengajian berbaloi apabila memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan pada majlis graduan, baru-baru ini.
Wany yang menamatkan pengajian tiga tahun di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam, berkongsi detik gembira menghadiri majlis konvokesyennya di laman Instagram miliknya.
Dengan keterangan gambar berbunyi ‘Pau (merujuk kepada pipinya) sudah ‘grad’, jelas menggambarkan kegembiraannya.
Wany jelas meluahkan rasa bersyukur kerana berpeluang untuk menamatkan pengajian ketika sibuk membina nama dalam bidang seni.
“Insya Allah, saya merancang menyambung belajar di peringkat sarjana. Cuma semuanya bergantung kepada kesesuaian waktu. Kalau tiada aral, saya akan ambil bidang sama,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu memberitahu, agenda seninya diteruskan seperti biasa.
“Saya akan melancarkan single solo kedua berjudul Rintihan Rindu. Lagu itu ciptaan Ibnu dan Gouffran, yang menghasilkan lagu Menahan Rindu.
“Saya harap akan terus berjaya dalam lapangan pendidikan mahupun nyanyian,” katanya.
April lalu, Wany yang juga artis naungan syarikat rakaman, Fantasia Music City (FMC), melancarkan single duet bersama Tajul Ariff berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu.