Sebagai seorang ibu berkerjaya, penyanyi Wany Hasrita akur ada ketikanya masa untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak perempuannya terbatas.
Kata Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, kesibukan dengan jadual kerja juga membuatkan timbul rasa bersalah dalam diri kerana jarang berada di rumah.
Namun dia juga sentiasa ingatkan diri bahawa setiap kerja yang dilakukan adalah demi kesenangan keluarga.
“Sekarang ini dalam fasa ‘mom guilt’ sebab kalau saya pergi kerja akan pulang malam.
Terpaksa tinggalkan anak di rumah bersama ibu dan pengasuh di siang hari.

“Penat macam mana pun, saya akan ambil anak untuk tidur bersama. Saya cuba bercakap dengannya walau mungkin dia masih belum faham. Sekurang-kurangnya dia melihat muka saya bila bangun pagi.
“Saya selalu ingatkan diri bahawa kerja ini untuk anak. Hanya boleh kuat dan cekalkan hati,” katanya kepada mStar.
Wany berkongsi rutin hariannya itu ketika sidang media pelancaran lagu baharu berjudul Jahat yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.
Penyanyi itu juga memberitahu dia hanya akan membawa anaknya, Aisha Al Iman, 2, bersama ketika bekerja jika tempat dan keadaan sesuai.
“Saya nak bawa anak, tetapi opahnya (ibu Wany) sangat protective. Jadi memang kebanyakan masa anak hanya akan duduk di rumah sahaja.
“Kecuali jika ada mana-mana persembahan dan saya menempah bilik hotel, barulah anak saya ikut sekali. Itu pun dia hanya duduk di bilik sahaja,” ceritanya.
Untuk rekod Wany mendirikan rumah tangga bersama Mohd Al-Adib Fahmi pada 22 Julai 2022. – Agensi