BANGKOK, 18 APRIL – Waran tangkap terhadap individu yang terlibat dalam insiden runtuhan Bangunan Pejabat Audit Negara (SAO) dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Kenyataan itu dibuat hari ini, selepas beliau mempengerusikan mesyuarat bersama beberapa agensi kerajaan susulan runtuhan bangunan setinggi 30 tingkat di daerah Chatuchak, Bangkok, pada 28 Mac lalu akibat gempa bumi, yang telah mengakibatkan beberapa kecederaan dan korban jiwa.
Paetongtarn berkata, kerajaan akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Akauntan Negara, yang memiliki indikator perolehan serta kuasa untuk menamatkan kontrak berkaitan.
Beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya dan Perancangan Bandar dan Desa supaya berganding bahu dengan pihak polis dan agensi-agensi berkaitan dalam menjalankan siasatan ke atas pihak yang berkemungkinan terlibat dalam kejadian tersebut.
Perdana Menteri memaklumkan bahawa Jabatan Siasatan Khas (DSI) kini sedang meneliti kualiti besi dan simen yang digunakan dalam pembinaan, termasuk sebarang perubahan terhadap reka bentuk asal yang mungkin menjadi punca runtuhan.

DSI turut menyiasat unsur berkaitan penglibatan syarikat asing dan dakwaan wujudnya amalan manipulasi tender dalam projek berkenaan.
“Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak memandang ringan isu ini,” tegas Paetongtarn.
Beliau turut melahirkan rasa sedih dan kebimbangan terhadap kehilangan nyawa yang berlaku, sambil menegaskan bahawa tragedi sebegini berpunca daripada runtuhan sebuah bangunan tunggal adalah sesuatu yang sukar untuk diterima. Beliau menambah, keadaan ini tidak boleh disamakan dengan insiden di Myanmar, di mana beberapa bangunan runtuh akibat gempa bumi bermagnitud 8.2 yang berpusat di Mandalay.
Paetongtarn menjelaskan bahawa siasatan bagi menentukan punca runtuhan adalah tanggungjawab pihak Polis Diraja Thailand dan pegawai DSI.
“Sama ada ia berkait dengan waran tangkap atau tindakan lain, perkara ini telah dibincangkan bersama pihak polis, dan mereka telah memberi jaminan bahawa sebaik bukti mencukupi dikumpul, waran tangkap akan dikeluarkan,” katanya, sambil menambah bahawa proses ini dijangka tidak akan mengambil masa terlalu lama. – ANN/The Star